Jakarta: Dilahirkan dalam keluarga penoreh getah di Pauh, Perlis, atlet olahraga pekak negara, Zaiman Megat Abu, 24, tidak pernah menjadikan kehidupannya yang serba kekurangan sebagai alasan untuk berhenti ‘bermimpi’ mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Anak bongsu daripada lima beradik itu kini menggalas cita-cita besar untuk berdiri sebaris dengan ‘teman latihannya’ yang juga jaguh Paralimpik negara, Datuk Abdul Latif Romly dengan misi memburu kejayaan di Deaflympics Tokyo 2025, pentas tertinggi untuk sukan orang pekak.
Zaiman yang kehilangan pendengaran pada usia dua tahun selepas terjatuh dalam satu insiden, mula serius menceburi olahraga pada usia 17 tahun apabila bakatnya dikesan jurulatih, Sanusi Zainal Abidin, individu sama yang pernah melahirkan Abdul Latif.
“Saya pernah berlatih sekali dengan Abdul Latif. Jurulatih selalu kata saya boleh jadi macam Abdul Latif. Itu kata-kata yang saya pegang sampai sekarang,” katanya kepada Bernama menjelang Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 di Jakarta yang membuka tirai bermula esok hingga Selasa depan.
Penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada acara pembukaan menjadi simbol tekadnya dengan sasaran tunggal iaitu memastikan membawa pulang pingat emas acara lompat kijang sebagai hadiah sempena Hari Kebangsaan Ke-68 negara.
Di sebalik kejayaan mula dikecapi, Zaiman sentiasa meletakkan keluarga sebagai sumber kekuatan, terutama ibunya, Maznah Mansor, 65, selepas kehilangan bapanya, Megat Abu Mat Saman yang meninggal dunia pada usia 64 tahun.
Sementara itu, Sanusi, 59, yang juga guru sekolah menengah di Perlis melihat Zaiman sebagai susuk luar biasa kerana dalam 30 tahun bergelar jurulatih, inilah kali pertama beliau membimbing atlet pekak tanpa sebarang asas bahasa isyarat.
“Zaiman ini datangnya daripada keluarga yang sangat susah. Macam-macam kerja dia pernah buat sebelum bergelar atlet sepenuh masa.
“Satu perkara yang saya tak pernah ragu tentang beliau ialah komitmennya. Kalau saya tetapkan latihan 4 petang, pada 3.45 petang dia sudah terpacak di padang.
“Kadang-kadang, kalau dia terpaksa datang lewat kerana kerja, dia akan pastikan sambung lagi latihan sehingga betul-betul dapat apa yang saya ajar,” katanya.
Beliau berkata, detik awal pertemuan tujuh tahun lalu masih terpahat dalam ingatan apabila Zaiman datang ke padang hanya kerana minat tanpa pernah menyangka perjalanan itu bakal membawanya ke pentas antarabangsa.
“Ibu bapa dia memang jadi tulang belakang, sanggup hari-hari hantar dia ke tempat latihan walaupun kami berlatih di merata-rata lokasi.
“Saya masih ingat lagi, hari dia balik dari Iran dengan sebutir emas dan sebutir perak, hari yang sama ayah dia meninggal dunia.
“Masa tu saya cakap dengan keluarga dia, biarlah saya bawa Zaiman ke mana-mana kejohanan. Kalau ada rezeki ganjaran, bolehlah dia beli rumah untuk mak dia sebab sekarang dialah tonggak utama keluarga, memandangkan adik-beradik lain sudah berumah tangga,” katanya dengan nada sebak.
Kini, beliau mencurahkan segala ilmu yang dimiliki dengan harapan Zaiman mampu menjadi ‘anak murid keduanya’ yang mengharumkan nama di persada dunia, sekali gus membuktikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak wajar dipandang sebelah mata.
Terdahulu, kontinjen Malaysia menetapkan misi memburu 16 pingat emas di Sukan SEA Pekak 2025, sekali gus mempertahankan gelaran yang diraih pada edisi pertama di Kuala Lumpur pada 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd