Zainal tak akan sesekali 'miming'

Zainal tak akan sesekali 'miming'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : “Insya-Allah, ‘it’s completely a no’,” kata penyanyi popular, Datuk Zainalabidin ketika ditanya mengenai pilihan segelintir penyanyi untuk tampil ‘miming’ ketika membuat persembahan secara langsung.

Zainal, 65, berkata, dia tidak perlu ‘miming’ kerana dia adalah penyanyi profesional.

“Tak pernah. Saya penyanyi yang baik, kenapa perlu saya ‘miming’? Itu semua alasan. Maknanya, kamu bukan profesional. Kalau kamu profesional, kamu tak ada kaki ke, tak ada tangan ke, kamu akan buat juga.

“Kamu tengok atlet paralimpik. Di mata kita, mungkin mereka kelihatan tidak cukup sempurna, tetapi mereka berjaya menempa kejayaan. Jadi, tak ada alasan. Takutlah, sakit tekaklah, baru tidurlah, lupalah.

“Kenapa panggil diri kamu penyanyi kalau kamu perlu ‘miming’? Jadi, kamu bukan penyanyi,” katanya.

Zainal ditemui di sidang media Festival Drums & Percussion Malaysia yang berlangsung hari ini. Festival budaya itu akan berlangsung pada 7 Disember ini di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam.

Selain Zainal, festival itu turut membariskan barisan artis dan pemuzik lain iaitu Arthur Kam, Batteryheadz Percussion, Kamrul Hussin, Lola and XPDC, Pa’ang Zaman, Rie Tsuji, Sān Percussion, Steve Thornton, The Gong, Ujang Exists serta Pancaragam Polis Diraja Malaysia dan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top