am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tokoh ilmuwan negara, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, menerima Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2025 oleh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) atas jasa beliau dalam bidang pengurusan air dan kelestarian alam sekitar.
Anugerah itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika majlis penganugerahan dan penghargaan LJM 2025, di sini, malam tadi.
Zaini yang menamatkan kerjayanya sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada awal tahun ini, adalah jurutera profesional dan ‘chartered engineer’ dari Universiti Kingdom.
Beliau yang sebelum ini pernah juga berkhidmat sebagai KSU di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA); Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), juga penerima Anugerah Merdeka dan Order of the Rising Sun dari Jepun sebelum ini.
Pada majlis sama turut disampaikan ialah penerima Anugerah Sebutan Khas Kejuruteraan Antarabangsa 2025 yang diberikan kepada Pemangku Ketua Pengarah Institut Maritim Malaysia, Prof Dr Syuhaida Ismail dan Prof Dr Mohd Sapuan Salit.
Sementara Anugerah Tokoh Muda Kejuruteraan Negara 2025 pula diberikan kepada jurutera profesional, Alex Looi Tink Huey.
Selain penganugerahan buat jurutera, LJM turut meraikan media tanah air melalui penghargaan khas kepada lapan agensi termasuk Berita Harian, New Straits Times (NST) dan TV3 yang juga disampaikan Fadillah.
Penghargaan itu diterima Pengarang Berita Kanan Berita Harian, Veena Rusli bagi mewakili Berita Harian; NST juga diwakili Pengarang Berita Kanannya, Robin Augustin manakala TV3 oleh Pengurus Kandungan Siarannya, Nur Dayana Adnan.
© New Straits Times Press (M) Bhd