am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kehadirannya di setiap majlis sama ada rasmi atau santai sentiasa mencuri tumpuan ramai susulan penampilannya yang kerap memperagakan pakaian bermotifkan batik.
Batik dipakai Wan Zakaria Wan Abu Bakar, 43, turut digayakan dengan aksesori lain seperti selendang dan kerongsang sekaligus menyerlahkan lagi penampilannya.
Wan Zakaria berkata, dia mencintai seni batik sejak 15 tahun lalu dan sehingga kini sudah mempunyai lebih 1,000 koleksi persalinan bermotifkan batik dengan kira-kira 400 pasang masih dalam keadaan baik.
“Bagi orang lain, mereka mungkin memperagakan beg tangan berjenama untuk menampakkan diri mereka mewah.
“Namun saya mengenakan persalinan batik berikutan ia dirasakan tampak eksklusif untuk diri saya.
“Apabila mengenakan batik, automatik saya akan berasa standard diri sedikit tinggi berbanding orang lain. Kerana itu saya amat menghargai warisan batik, ditambah proses pembuatannya agak rumit malah harganya juga bukan murah.
“Biasanya saya akan membeli kain batik sama ada dua atau empat meter sebelum dijahit menjadi pakaian dengan pilihan leher cekak musang dilengkapi tiga butang sama ada dari kayu atau tempurung kelapa,” katanya ketika ditemui di Kampung Panji, di sini.
Bekas guru ini berkata, jika dulu dia membeli fabrik batik itu dari beberapa kenalan pengusaha batik tapi kini dia mendapatkannya dari penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta pihak penjara yang turut menghasilkan produk berkenaan.
“Jika orang lain menghadiri sesuatu majlis, bermacam fesyen yang digayakan manakala saya kekal dengan imej batik. Malah rasa bangga apabila ramai yang tertunggu-tunggu penampilan batik corak bagaimana menjadi pilihan saya,” katanya yang juga Graduan Sarjana Pendidikan di Open University Malaysia (OUM).
Menurutnya, bagi majlis separa rasmi, dia akan memakai batik dari fabrik kapas manakala sutera kapas menjadi pilihan dengan motif pelbagai sama ada flora, abstrak atau geometri untuk majlis rasmi.
Wan Zakaria berkata, hampir 80 peratus koleksi baju batik yang dimilikinya adalah buatan Malaysia manakala selebihnya dari Indonesia serta Vietnam.
Menurutnya lagi, kain batik yang dibelinya ada yang mencecah harga sehingga RM1,200 untuk empat meter namun tidak menganggap perkara itu satu pembaziran kerana baginya nilai warisan batik itu yang lebih tinggi.
“Dunia fesyen ikut peredaran tapi tidak bagi batik yang sentiasa hidup cuma perlu dijaga warisannya kerana zaman kini, tidak ramai yang ingin memakai pakaian bercorak batik terutama golongan muda, maka usaha pemeliharan warisan ini perlu diteruskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




