Zakiah Anas pilih amalkan gaya hidup sihat untuk kekal cantik

Zakiah Anas pilih amalkan gaya hidup sihat untuk kekal cantik

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas personaliti TV3, Zakiah Anas menolak untuk melakukan pembedahan kosmetik apabila memilih cara hidup sihat bagi mengekalkan kejelitaan dan awet muda pada usia mencecah 60 tahun.

Zakiah berkata, dia juga bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan tidak mempunyai penyakit yang serius seperti darah tinggi, masalah jantung dan sebagainya.

“Saya memang suka dan mengamalkan cara hidup sihat sejak zaman muda lagi. Sebab itu, saya pilih buat program yang aktif seperti 999 dulu.

“Selain menjaga pemakanan, saya juga buat aktiviti ‘hiking’ atau panjat bukit dekat kawasan rumah, seminggu sekali.

“Pada masa sama, saya juga buat senaman tai chi moden iaitu pergerakan selama 10 minit setiap hari,” katanya ketika ditemui pada prebiu Ramadan, ‘Di Bawah Langit Yang Sama’ di Saloma Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Mengulas pembedahan kosmetik pula, kata Zakiah, ia terpulang pada pilihan individu dan kemampuan kewangan masing-masing.

“Memang ada orang yang tak sabar nak kurus cepat, jadi dia ambil jalan mudah buat pembedahan kosmetik, mengambil suntikan atau ubat kurus popular dikenali sebagai Ozempic untuk menurunkan berat badan dan sebagainya.

“Bagi saya, tiada salahnya jika mereka pilih cara sedemikian untuk tampil cantik sebab mereka ada duit.

“Tapi mereka perlu ingat Ozempic dan semua ubat kurus ada kesan sampingannya. Mungkin sekarang, individu itu nampak cantik tapi jangka masa panjang akan merosakkan buah pinggang sebab ia masuk dalam sistem badan kita,” katanya.

Ditanya ramai selebriti dan personaliti terkenal yang melakukan pembedahan bariatrik pula, kata Zakiah, perkara itu terpulang kepada kemampuan masing-masing.

“Pembedahan bariatrik lebih sesuai untuk mereka yang masih muda iaitu bawah 50 tahun sebab kulit masih anjal.

“Bila usia kita masuk 50 tahun, kulit sudah tak anjal lagi dan mereka yang lakukan bariatrik akan kurus secara drastik dan kena usaha lebih sikit untuk cengkam semula muka yang sudah kecut itu.

“Apapun, saya tumpang gembira melihat ramai rakan yang tampil cantik dan langsing selepas melakukan pembedahan bariatrik, sebab ada orang yang gemuk tapi tiada usaha untuk kuruskan badan,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top