Zaman dah berubah, artis dulu dan sekarang tak sama – Ieda Moin

Zaman dah berubah, artis dulu dan sekarang tak sama – Ieda Moin

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon dan penyanyi, Ieda Moin berpendapat isu disiplin serta sikap sesetengah artis baharu yang tidak menghormati masa orang lain disifatkan sebagai sesuatu yang amat mengecewakan.

Meskipun berada dalam industri seni selama tiga dekad, Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, 47, berkata, artis generasi terdahulu sudah diterapkan dengan tahap disiplin tinggi, terutamanya mengenai waktu penggambaran dan penglibatan dalam sesebuah acara.

“Kalau nak kata pasal ‘call time’ atau disiplin saya di set, boleh tanya mana-mana set penggambaran yang pernah bekerjasama dengan saya, mereka tidak pernah menunggu saya.

“Artis-artis dulu diajar supaya kita yang menunggu orang lain, bukannya orang lain menunggu kita.

“Sama juga kalau ada sidang media, contohnya kalau kita dipanggil pukul 5.30 petang, pukul 5.30 petang saya dah kena ada di situ. Tidak mengapa kalau saya kena tunggu wartawan, jangan wartawan yang tunggu saya.

“Ketika itu kami tidak diajar untuk mereka menunggu kita. Malah jika ada hal dan terlewat seminit sekalipun, kita akan datang dan minta maaf dulu. Tetapi artis sekarang tidak begitu. Datang lambat, salam pun tiada,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Menurut Ieda, artis generasi terdahulu dikehendaki menjalani kelas ‘grooming’ (penjagaan diri) yang merangkumi tatacara berhadapan dengan media serta etika berkomunikasi.

“Bila kami berbual, kami selalu cakap lain betul artis-artis sekarang. Kami dulu dihantar pergi kelas grooming (penjagaan diri). Belajar macam mana nak berdepan dan menjawab soalan wartawan.

“Malah cara duduk dan berdiri pun diajar dulu. Tetapi sekarang, zaman dan masa dah berubah. Jadi kita terpaksa akurlah. Kita tidak selamanya berada di atas dan kita kena terima cara artis baharu sekarang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pengalaman peribadi berhadapan dengan situasi sedemikian di set penggambaran, Ieda tidak menafikan perkara itu kerap berlaku, terutamanya apabila bergandingan dengan pelakon baharu

.”Pernah dan selalu berlaku. Melainkan kalau kita dah biasa jalankan penggambaran dengan artis-artis lama, memang tiada masalah.

“Tetapi kalau yang baru dan pertama kali jumpa di set, perkara ini selalu berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Ieda turut menegaskan artis baharu untuk sentiasa merendah diri sepanjang bergelar anak seni.

“Jangan kata mereka tidak kenal saya, saya sendiri pun tidak kenal mereka sebab terlalu ramai artis baru sekarang. Saya lebih suka kalau mereka sendiri yang datang memperkenalkan diri mereka.

“Saya sendiri tidak pernah rasa diri saya diva. Kalau mereka tidak kenal saya pun, saya sendiri yang akan kenalkan diri dulu. Tiada masalah pun, kenalkan sahaja diri,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top