Zamarul amalkan gaya hidup sihat selepas serangan jantung

Zamarul amalkan gaya hidup sihat selepas serangan jantung

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pelakon senior, Zamarul Hisham, 54, bersyukur kerana tahap kesihatannya beransur pulih selepas melakukan prosedur angiogram buat kali ketiga pada April lalu.

Zamarul atau nama sebenarnya, ZamarulHisham Mohamed berkata, dia perlu menjalani prosedur angiogram sebanyak tiga kali kerana tiga saluran jantungnya yang tersumbat sebelum ini.

“Alhamdulillah, tahap kesihatan saya sudah beransur pulih sekarang.

“Saya juga sudah mula bersenam di gim dan boleh melakukan rutin harian sebagai persiapan diri untuk projek filem terbaharu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Ditanya perkembangan kesihatannya lagi, kata Zamarul, dia juga mula mengamalkan gaya hidup sihat selepas mengalami serangan jantung buat kali kedua.

“Sebenarnya, saya memang degil orangnya kerana kali pertama buat pemasangan sten pada Februari lalu, saya fikir tahap kesihatan sudah okay.

“Jadi, saya masih merokok dan makan semua benda. Tapi bila dapat serangan jantung buat kali kedua ketika bangun dari tidur di rumah, saya mula ubah kepada gaya hidup sihat,” katanya.

Kata Zamarul lagi, dia juga nekad berhenti merokok dan menjaga pemakanan serta dipantau isterinya, pelakon Diana Rafar.

“Saya juga kurangkan pengambilan gula dan lebih banyak makan sumber protein seperti telur pada setiap pagi.

“Pada masa sama, saya juga buat senaman ringan seperti ‘brisk walk’ pada setiap pagi atau petang sekurang-kurangnya empat hingga lima kilometer,” katanya.

Ditanya karier lakonan pula, kata Zamarul, dia juga sudah kembali berlakon seperti biasa.

Terdahulu, Zamarul dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 2 pagi akibat sesak nafas ketika di lokasi penggambaran pada 5 Februari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top