Oh! Negara
Zamri Vinoth nafi dakwaan melarikan diri ke Thailand dan sedia beri kerjasama kepada polis jika diperlukan.
Aktivis media sosial, Zamri Vinoth menafikan dakwaan bahawa beliau melarikan diri ke Thailand selepas dikaitkan dengan kontroversi menghasut keganasan.
Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika perlu. Malah, Zamri juga menyatakan kesediaan untuk bertemu sendiri Ketua Polis Negara bagi menjelaskan keadaan sebenar.
Zamri Vinoth persoal mengapa dirinya jadi sasaran

Menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu, Zamri menegaskan beliau tidak pernah cuba melarikan diri seperti yang didakwa.
Saya sendiri akan pergi jumpa IGP jika perlu, insya-ALLAH. Saya tak lari dan tiada keperluan pun untuk lari.- Katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut mempersoalkan mengapa dirinya menjadi sasaran tuduhan berhubung beberapa insiden keganasan yang berlaku kebelakangan ini.
Kenapa hanya saya pula nak kena tuduh? Apa kesalahan saya? Apa yang saya hasut?- Katanya.
Polis lakukan siasatan beberapa kes berasingan

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan bahawa Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri dipercayai telah melarikan diri ke Thailand. Menurut beliau, pihak polis kini sedang giat mengesan kedua-dua individu tersebut dengan bantuan pihak berkuasa Thailand bagi membawa mereka pulang ke Malaysia.
Kes Zamri pula melibatkan siasatan terhadap kenyataan yang dibuat semasa satu perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu yang telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Siasatan terhadap Zamri melibatkan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam. Selain itu, beliau juga disiasat berhubung kenyataan yang didakwa berbaur penghinaan terhadap kaum India di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Pertuduhan akan diteruskan selepas mereka berjaya dibawa pulang

Dalam masa sama, Tamim Dahri pula disiasat berkaitan tindakan merosakkan soolam yang merupakan simbol suci agama Hindu di Langkawi di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Menurut Ketua Polis Negara, pertuduhan terhadap kedua-dua individu berkenaan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat selepas mereka berjaya dikesan dan dibawa pulang ke Malaysia.
Pssttt! Isu sensitif melibatkan kaum dan agama memang mudah cetuskan ketegangan. Jadi sebelum bercakap atau berkongsi sesuatu, fikir dulu kesannya. Kalau ada salah faham, biarlah pihak berkuasa siasat dan tentukan kebenaran supaya keadaan tak jadi lebih keruh.
Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!



