“Zara Patut Masih Hidup” – Mimi Lana Tegas Tuntut Keadilan

“Zara Patut Masih Hidup” – Mimi Lana Tegas Tuntut Keadilan

Pelakon Mimi Lana tampil bersuara mengenai kematian tragis pelajar sekolah, Zara Qairina, yang didakwa menjadi mangsa buli sehingga menemui ajal.

Menerusi perkongsian di Instagram, Mimi tegas menuntut keadilan buat Zara yang sebelum ini sudah meminta tolong namun suaranya tidak didengari.

BACA: Mimi Lana, Syafiq Kyle Sedia Bergelar Ibu Bapa

“Kita perlu keadilan untuk adik Zara, SEKARANG! Adik Zara, seorang murid sekolah, berulang kali menyuarakan penderitaan dia, menyebut satu persatu nama pembuli yang menyeksa dia secara fizikal dan mental.

“Dia dah minta tolong. Dia dah bagi petunjuk. Tapi suara dia tak pernah benar-benar didengari… sehingga dia akhirnya pergi,” tulisnya.

Sementara itu, Mimi berkata sama ada Zara dibunuh atau tidak, hakikatnya mangsa telah dibuli dan pembuli yang terlibat masih lagi bebas.

“Sama ada dia dibunuh atau tidak, faktanya, dia dibuli!! Dan pembuli-pembuli itu masih bebas di luar sana! Apa lagi yang kita tunggu? Sampai ada lagi budak yang terkorban baru nak bertindak?” katanya.

Dalam pada itu, Mimi turut menyeru pihak berkuasa untuk menyiasat semua yang terlibat, termasuk ibu bapa si pelaku yang didakwa melindungi anak mereka.

“Semua yang terlibat mesti disiasat dan DITANGKAP! Termasuk ibu bapa yang masih lindungi anak mereka walaupun tahu mereka pembuli! Kamu sedang rosakkan hidup anak kamu sendiri!

“Budaya buli di sekolah bukan hal biasa. Ia bunuh jiwa, bunuh harapan, dan kali ini… ia bunuh nyawa,” tulisnya.


Scroll to Top