aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelumba kart muda negara, Zarif Raykal terlepas peluang meraih tiket automatik ke Kejuaraan Dunia IAME Final yang dijadual berlangsung pada Oktober ini selepas tewas tipis kepada pelumba dari Itali dalam aksi final kategori senior pada Kejuaraan IAME Asia Pasifik 2026, meskipun menampilkan prestasi kompetitif sepanjang perlumbaan.
Zarif mengakui peluang untuk meraih kemenangan terbuka luas selepas memulakan perlumbaan dengan rentak yang baik, namun masalah cengkaman jentera pada pusingan akhir menjejaskan usaha untuk mempertahankan kedudukan di hadapan dan terpaksa akur tewas tipis kepada Andrea Galimberti.
“Dalam final, kami bermula laju dengan kelajuan yang baik, tetapi pada tiga pusingan terakhir cengkaman belakang hilang sepenuhnya.
“Lawan dapat mengejar dan saya tak mampu buat apa-apa untuk menahannya,” katanya.
Pelumba berusia 15 tahun itu mengakui kekecewaan tetap dirasai walaupun berjaya menaiki podium kerana yakin dia mempunyai sedikit kelebihan kerana beraksi di tempat sendiri.
Justeru, pelumba berbakat itu bertekad menebus kehampaannya pada pusingan seterusnya selepas ini apabila bakal menyertai beberapa perlumbaan di Eropah sebelum kembali menyambung kempen siri \IAME Asia Asia pada hujung Mac ini di Thailand.
“Lepas ini ada beberapa perlumbaan di Eropah, kemudian saya akan kembali berlumba di IAME Asia dan cuba menang apa yang saya mampu.
“Sasaran memang nak juara, tetapi kami akan terlepas beberapa perlumbaan kerana akan berlumba di Eropah,” katanya.
Kejuaraan IAME Asia Pasifik 2026 yang berlangsung di Litar Karting Antarabangsa LYL di sini menyaksikan persaingan sengit dengan kehadiran pelumba bertaraf dunia termasuk Alex Machado dari Andorra serta Marijn Kremers dari Belanda, juara dunia go-kart 2019 bagi kelas premier KZ, selain mendapat sokongan penuh Tourism Malaysia.
Saingan itu menghimpunkan 106 pelumba dari 15 negara termasuk 22 wakil Malaysia, dengan empat kategori dipertandingkan iaitu Cadet, Junior, Senior dan Master.
Dalam keputusan kategori senior, Andrea Galimberti dari Itali muncul juara manakala Zarif Raykal menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan Dillan Tan dari Singapura di tangga ketiga.
Bagi kategori Master, Takeharu Nakamori dari Jepun mengungguli podium diikuti Luke Armstrong dari Australia dan Werasak Aiemwichan dari Thailand.
Kategori kadet pula menyaksikan Syabil Umar Basalamah dan Darren Arthur Gani dari Indonesia menguasai dua kedudukan teratas manakala Max Schilling dari Hong Kong melengkapkan podium.
© New Straits Times Press (M) Bhd




