Meskipun sering tampil dengan imej seksi dan bermulut lantang, pelakon Zarina Anjoulie mempunyai hasrat bagi membawa watak lakonan menjadi wanita baik-baik seperti ustazah.
Menurut laporan Kosmo! Online, pemilik nama Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul itu berkata dia tidak mahu menjayakan watak klise sekali gus memberi kelainan dan cabaran buat dirinya.
“Saya sebenarnya teringin hendak bawakan watak seorang ustazah. Watak sebegitu memang menarik, selain akan membuatkan penonton teruja untuk melihat saya dalam televisyen.
“Saya tidak kisah jika terpaksa mencabut bulu mata palsu dan memakai tudung labuh jika perlu membawakan watak seorang ustazah.
“Tidak salah rasanya jika saya tampil dengan kelainan,” katanya ketika ditemui pihak media, semalam.
Zarina atau popular dipanggil Anju berkata, dia menerima pelbagai tawaran lakonan sepanjang tempoh ‘berehat’ sejak dahulu namun terpaksa menolak disebabkan beberapa faktor.
“Memang dah lama saya tidak berlakon dan menolak banyak tawaran kerana tidak boleh jauh dengan anak.
“Kebanyakkan penggambaran perlu dilakukan di luar Kuala Lumpur dan Nilai. Namun, saya sedia mempertimbangkan sebarang tawaran,” kongsinya.
Sumber: Kosmo! Online (Mohammad Shahemy Azmi) , Instagram Zarina Anjoulie




