Zawawi fokus persiapan hadapi LTdL 2025

Zawawi fokus persiapan hadapi LTdL 2025

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Pelumba pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhamad Zawawi Azman akui menimba pengalaman berharga menerusi penyertaannya dalam acara lebuh raya pada Kejohanan Berbasikal Antarabangsa Chengdu Tianfu 2025 di China, pada 29 Jun lalu.

Meskipun hanya berjaya menduduki tempat ke-71 daripada lebih 100 pelumba antarabangsa yang mengambil bahagian, namun dia menyifatkan pencapaian itu memberangsangkan dalam saingan yang mencabar.

Ia terutama dalam persiapannya menghadapi perlumbaan basikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, edisi ke-29 yang dijadualkan berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober depan.

“Memang pada peringkat awal, saya tidak meletakkan apa-apa sasaran cuma mahukan keputusan terbaik dapat dicapai kerana sedar kita bersaing dengan pelumba antarabangsa bertaraf dunia dan rata-rata mereka mempunyai catatan rekod peribadi yang lebih baik.

“Tapi, saya dan rakan dari pasukan MPC, berjaya memberikan saingan sengit dalam perlumbaan yang membabitkan jarak 105 kilometer itu. Kami anggap pencapaian yang diperolehi itu memberangsangkan.

“Saya akui perlumbaan yang mencabar seperti itu dapat memberi impak positif dan pengalaman berharga dalam membantu saya membuat persiapan menghadapi LTdL 2025, September depan,” katanya.

Pada kejohanan berkenaan, pelumba berusia 31 tahun itu tampil bersama lima rakan lain dari pasukan MPC membabitkan Ahmad Syazrin Awang Ilah, Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil, Faiz Fakhri Omar Mohammad, Mohammad Syawal Mazlin dan Ariff Danial Noor Roseidi.

Pelumba yang kini berkhidmat dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, dia dan rakan sepasukan sudah menanam azam serta memasang impian untuk melakar pencapaian lebih baik pada LTdL tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top