sukan@hmetro.com.my
Bangkok: Peluncur ais negara, Fang Ze Zeng mempamerkan ketenangan luar biasa untuk menghadiahkan pingat emas ke-11 buat kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand menerusi acara perseorangan lelaki, hari ini.
Atlet berusia 20 tahun itu tidak terkesan dengan tekanan juri tuan rumah apabila menampilkan aksi terkawal dalam sukan yang sering dipengaruhi elemen subjektif.
Ze Zeng muncul juara dengan jumlah keseluruhan 157.22 mata hasil gabungan program pendek dan luncur bebas di Pusat Latihan Luncur Ais Antarabangsa, Samut Prakan.
Dia mengatasi wakil Thailand, Aaron Kulvatunyou yang mengumpul 137.98 mata manakala atlet Filipina, Paolo Borromeo, meraih gangsa dengan 128.39 mata.
Pengurus pasukan luncur ais negara, Fadzli Johan mengakui cabaran besar beraksi dalam acara yang dinilai juri, apatah lagi di gelanggang lawan, namun menegaskan Ze Zeng memang dikenal pasti sebagai prospek utama emas.
“Luncur ais adalah sukan yang sangat sensitif dan subjektif, tambahan pula kami menentang tuan rumah.
“Namun, Ze Zeng antara sandaran utama kerana kami mempersiapkannya khusus untuk Sukan SEA ini sejak setahun setengah lalu termasuk pendedahan di kejohanan luar negara,” katanya.
Menurut Fadzli, Ze Zeng mungkin tidak menampilkan aksi terbaiknya, namun kekuatan mental yang dimiliki membolehkannya menamatkan pertandingan dengan cemerlang merangkumi kedua-dua segmen.
“Dia gugup dan bukan persembahan terbaiknya, tetapi dia berjaya melengkapkan aksi dengan baik dan itu sudah memadai untuk emas. Kami bersyukur dia mampu beraksi ketika paling diperlukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




