Zetrix AI, Royal Solusi Investasi bekerjasama bagi penubuhan ASEAN China AI Lab di Indonesia

Zetrix AI, Royal Solusi Investasi bekerjasama bagi penubuhan ASEAN China AI Lab di Indonesia

ZETRIX AI Berhad (Zetrix AI), sebelum ini dikenali sebagai MY E.G. Services Berhad, menandatangani perjanjian kerjasama dengan PT Royal Solusi Investasi (Royal Solusi Investasi) bagi penubuhan ASEAN China AI Lab di Indonesia.

Perjanjian itu membuka laluan untuk membawa ASEAN China AI Lab ke Indonesia, empat bulan selepas kemudahan pertama ditubuhkan di ibu pejabat korporat Zetrix AI di Petaling Jaya sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan-ke-kerajaan (G2G) antara China dan Malaysia untuk bekerjasama dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI).

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong, penubuhan AI Lab terbaharu di Jakarta ini disokong oleh kerajaan masing-masing bagi memastikan kelancaran pemindahan teknologi dan privasi data khususnya berkaitan dengan aplikasi rentas sempadan.

“ASEAN boleh menjadi pusat penting inovasi AI global yang memenuhi keperluan negara-negara Global Selatan.

“Kita boleh menawarkan pilihan ketiga yang diyakini berbanding model Barat atau China sedia ada, satu model hibrid yang menghubungkan jurang yang ada.

“Aspirasi kami adalah untuk terus memperluas model ini di seluruh rantau ASEAN dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara yang dipamerkan di ASEAN China AI Lab di Zetrix Tower, Malaysia: robot humanoid, NurAI (LLM patuh Syariah), dan Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI).

Antara yang dipamerkan di ASEAN China AI Lab di Zetrix Tower, Malaysia: robot humanoid, NurAI (LLM patuh Syariah), dan Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI).

Untuk rekod, Royal Solusi Investasi adalah sebahagian daripada Royal Group, sebuah syarikat pegangan pelaburan terkemuka di Indonesia dengan rekod pencapaian yang terbukti dalam bidang teknologi untuk sektor awam dan swasta.

Portfolio syarikat ini meliputi pelbagai inovasi termasuk penyelesaian transformasi digital, realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR), teknologi pendidikan, aplikasi rantaian blok, Internet Benda (IoT), bioteknologi dan pembangunan projek karbon.

Ketua Pegawai Eksekutif Royal Group, Irawan Mulyadi berkata, ASEAN–China AI Lab akan meletakkan Indonesia sebagai jambatan antara ASEAN dan China dalam memajukan AI.

“Melalui kerjasama terbuka, kita dapat menghimpunkan sumber, data dan teknologi bagi mengukuhkan asas digital Indonesia.

“Hasrat kami adalah memastikan penerapan AI memberi manfaat meluas kepada masyarakat serta membina negara yang lebih kukuh dan bersedia untuk masa depan,” katanya.

Secara keseluruhan, projek ASEAN China AI Lab memberi tumpuan kepada mempercepatkan penggabungan teknologi rantaian blok, AI generatif dan robotik di rantau ini dengan menghimpunkan syarikat teknologi terkemuka dari China dan ASEAN untuk bersama-sama membangunkan aplikasi rentas sempadan dan menyesuaikan perkhidmatan AI mengikut budaya serta nilai tempatan.

Sehubungan itu, penekanan AI Lab di Indonesia adalah untuk meniru dan mengadaptasi projek AI yang telah dilaksanakan di pasaran lain bagi memenuhi keperluan pasaran Indonesia, negara paling ramai penduduk di rantau ini dengan lebih 285 juta orang.

Penubuhan ASEAN China AI Lab di Indonesia ini menyusul kejayaan pelaksanaan projek-projek perintis berskala global dari makmal di Malaysia termasuk pelancaran NurAI Large Language Model (LLM), model bahasa besar pertama di dunia yang sejajar dengan prinsip Syariah.

Scroll to Top