Beijing: Pelakon dan penyanyi China, Zhang Yiyang, 34, dihukum mati oleh skuad penembak pada Disember tahun lalu selepas didapati bersalah membunuh remaja perempuan berusia 16 tahun yang juga teman wanitanya.
Menerusi laporan berita daripada AsiaOne semalam, turut dimaklumkan Yiyang adalah selebriti pertama di China yang dijatuhi hukuman mati di atas kesalahan membunuh.
Menurut dokumen yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rakyat Pertengahan Kota Xianyang di Wilayah Shaanxi, teman wanita Yiyang itu dikenali sebagai Miss Zhang dan berusia 15 tahun ketika mereka mula berkenalan.
Difahamkan, insiden berlaku apabila remaja terbabit meluahkan hasrat untuk memutuskan hubungan cinta itu, namun Yiyang tidak bersetuju dengan permintaan kekasihnya hingga mereka bertengkar.
Mengikut kronologi, pembunuhan itu didakwa berlaku pada 26 Februari 2022 apabila Yiyang dikatakan membawa kekasihnya ke hutan dengan tujuan meraikan sambutan hari lahir bersama.
Yiyang dipercayai menggunakan kesempatan itu untuk melakukan pembunuhan berkenaan dengan pisau lipat, termasuk menyebabkan beberapa kecederaan lain pada bahagian tubuh mangsa.
Susulan tindakan kejamnya, Yiyang yang pulang ke rumah (selepas kejadiaan) menukar pakaian dan membuang semua bahan bukti, termasuk telefonnya ke dalam sungai.
Tidak hanya itu, dokumen pihak mahkamah juga mendedahkan bahawa Yiyang turut cuba membunuh diri di sebuah hotel, tetapi dia ditemui oleh kakitangan yang terus membuat laporan polis.
Keputusan mahkamah bagaimanapun memutuskan Yiyang dijatuhi hukuman mati kerana membunuh dengan sengaja dan hukuman itu dilaksanakan ke atasnya pada 18 Disember tahun lalu.
Baru-baru ini, kisah Yiyang menjadi perhatian wargamaya di platform Douban selepas filem terakhir lakonannya berjudul Jie You Yin Sheng Guan ditayangkan kepada masyarakat pada Mac lalu.
Rata-rata netizen meninggalkan kritikan hebat terhadap filem itu dengan berkomentar mengenai pelakon utama lelaki iaitu Yiyang adalah seorang pembunuh dan sudah disabitkan kesalahannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd