Zhen Yu cipta kejutan juara pusingan kedua JET

Zhen Yu cipta kejutan juara pusingan kedua JET

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain muda Negeri Sembilan, Yang Zhen Yu mencipta kejutan apabila merangkul kejuaraan perseorangan lelaki bawah 16 tahun pada pusingan kedua Kumpulan C kejohanan AFFIN-100PLUS Jelajah Elit Remaja (JET) 2026.

Pemain berusia 16 tahun itu mempamerkan aksi konsisten untuk menewaskan wakil Kedah, Joshua Karunagaran dalam perlawanan akhir straight set 21-15, 21-19 dalam tempoh 50 minit.

Kemenangan itu membuktikan prestasi cemerlangnya di separuh akhir bukan kebetulan apabila sebelum ini menyingkirkan pilihan utama, Kieshen Sai Rao Nyanaprakash Rao.

Dalam aksi final membabitkan dua pemain ranking 3/4 itu, Zhen Yu dilihat lebih tenang dan bijak mengawal permainan meskipun berdepan tentangan sengit daripada Joshua.

Berbekalkan keyakinan tinggi, Zhen Yu tidak memberi ruang kepada lawannya untuk mengheret perlawanan ke set penentuan apabila menamatkan saingan dalam dua set.

Sementara itu, bagi kategori perseorangan perempuan bawah 16 tahun, Lau Xin En meneruskan dominasi apabila meraih kejuaraan kedua berturut-turut dalam Kumpulan C.

Kejayaan itu menyaksikan Xin En menambah koleksi gelaran selepas turut muncul juara pada pusingan pertama, dua bulan lalu.

Pemain tuan rumah, Dayana Farisha Rizuan Sahari terlebih dahulu mencuri perhatian apabila melangkah ke final selepas menyingkirkan pilihan kedua dari Kedah, See Jie Le.

Bagaimanapun, pengalaman jelas memihak kepada Xin En dalam aksi penentuan apabila hanya memerlukan 30 minit untuk mencatat kemenangan 21-16, 22-20.

Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan status Xin En sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam saingan JET musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top