Zheng Qinwen lakar sejarah tenis China

Zheng Qinwen lakar sejarah tenis China

Paris: Zheng Qinwen muncul pemain China pertama memenangi pingat emas acara perseorangan tenis Sukan Olimpik selepas menewaskan pemain Croatia, Donna Vekic pada perlawanan akhir, hari ini.

Zheng yang berusia 21 tahun mencatatkan kemenangan 6-2, 6-3 sekali gus emas kedua China dalam sukan tenis di temasya sukan terbesar dunia itu selepas kemenangan beregu wanita, Li Ting dan Sun Tiantian di Athens pada 2004.

Kemenangan bersejarah Zheng berlaku di Gelanggang Philippe Chatrier dekat Roland Garros di mana pada 2011 rakan senegara, Li Na menjadi juara Grand Slam pertama China di gelanggang sama.

“Tiada apa yang dapat menggambarkan emosi saya, setiap pusingan adalah sangat sukar dan saya melakukan segala yang saya mampu untuk mendapatkan pingat untuk negara saya,” kata Zheng.

“Saya rasa negara saya pasti berbangga dengan pencapaian ini, saya juga bangga dengan diri sendiri. Keluarga saya ada di rumah, saya pasti mereka menjerit di depan televisyen.

“Saya hanya cuba berikan terbaik setiap perlawanan. Saya mempunyai tenaga istimewa apabila bermain untuk negara saya. Saya tidak pernah menyerah,” katanya lagi.

Terdahulu, Matthew Ebden dan John Peers dari Australia memenangi emas beregu lelaki dengan kemenangan mendebarkan ke atas Austin Krajicek dan Rajeev Ram dari Amerika Syarikat.

Pasangan bukan pilihan itu bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menang 6-7 (6/8), 7-6 (7/1), 10-8 menentang lawan mereka yang juga pilihan keempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top