sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain muda negara, Low Zi Yu berada di landasan tepat untuk memburu gelaran berganda pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kaherah, Mesir selepas mara ke kelompok 32 terakhir acara beregu campuran dan beregu perempuan, hari ini.
Pemain berusia 16 tahun itu terlebih dahulu bergandingan dengan Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal dalam beregu campuran untuk menewaskan pasangan Brazil, Klecivan Silva-Laura Roviezzo, 15-7, 15-3 dalam tempoh hanya 14 minit.
Pasangan pilihan utama yang juga juara remaja Asia itu akan berdepan wakil Amerika Syarikat, Zicheng Xu-Jasmine Yeung, dalam aksi seterusnya.
Zi Yu kemudian kembali ke gelanggang bersama Genevie Lim dalam acara beregu wanita dan sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila pasangan pilihan kedua itu menewaskan gandingan Hungary, Eliza Liang-Jana Weissenbach, 15-3, 15-3 dalam tempoh 15 minit.
Misi memburu gelaran beregu wanita itu cukup penting buat Zi Yu yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara pada dua edisi lalu.
Pada 2024, dia meraih pingat perak bersama Dania Sofea Zaidi sebelum sekali lagi menduduki tempat kedua tahun lalu ketika bergandingan dengan Noraqilah Maisarah Ramdan.
Sementara itu, Malaysia turut mencatat keputusan cemerlang dalam acara beregu campuran apabila kesemua empat pasangan negara berjaya melangkah ke kelompok 32 terakhir.
Yusuf Iqbal-Leong Hwee Ling mencuri tumpuan apabila menyingkirkan pasangan pilihan keempat dari Republik Czech, Filip Titera-Amelie Maixnerova, 15-10, 15-11 dalam tempoh 17 minit.
Mereka bakal berdepan cabaran getir menentang pasangan China, Yi Chen Tu-Si Chen Shi, pada pusingan seterusnya.
Pasangan pilihan ke-11, Khairul Azlan Khashah-Nur Aina Maisarah, turut mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil Australia, Ben Rambaud-Yanxi Liu, 15-4, 15-7.
Mereka seterusnya akan bertemu satu lagi gandingan China, pilihan ke-29, Feng Yi Lang-Li Meng Han.
Irfan Shazmir-Genevie Lim pula terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasangan Indonesia, Moses Andar Simanjuntak-Reya Azzahra Yulianti, 15-11, 9-15, 15-11.
Mereka akan menentang pasangan pilihan ke-13 dari Hong Kong, Cheng Ying Kit-Au-Yeung Wing Chi, dalam aksi seterusnya.
Dalam acara beregu wanita, pasangan pilihan ke-13, Rachel Tan-Teh Xin Ying, turut mara ke kelompok 32 terakhir selepas menewaskan rakan senegara, Leong Hwee Ling-Teoh Min Yi, 15-10, 15-10.
© New Straits Times Press (M) Bhd




