sukan@hmetro.com.my
Seremban: Pemain golf amatur sedang meningkat naik, Zia Iqmal Abdul Rashid berharap impiannya untuk mewakili negara ke temasya Sukan SEA di Bangkok, Thailand hujung tahun ini dapat dicapai selepas menduduki ranking ketiga ketika ini.
Menurut pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah berusia 26 tahun itu, beraksi di Sukan SEA adalah sasaran utamanya selepas berusaha keras meningkatkan permainan dalam siri kejohanan amatur kebangsaan anjuran Persatuan Golf Malaysia (MGA).
“Saya mula aktif dalam sukan golf ketika berusia 18 tahun dan sejak dari itu banyak kejohanan disertai bermula dengan peringkat remaja dan kemudian bersaing dengan pemain amatur tempatan serta antarabangsa.
“Prestasi saya mula terserlah pada 2022 apabila menjuarai Kejohanan Golf Amatur Kelantan dan kemudian disusuli dengan kejayaan Terbuka Pahang, Perlis dan Perak antara 2023 dan 2024.
“Tahun ini, saya mengungguli Kejohanan Golf Amatur Terbuka Negeri Sembilan 2025, baru-baru ini,” kata Zia Iqmal ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Zia Iqmal, dia dimaklumkan MGA bakal menyenaraikan tujuh pemain membabitkan empat lelaki dan tiga wanita bagi menggalas cabaran pada temasya sukan dwitahunan di Bangkok itu.
Pemain berasal dari Kuala Lumpur ini berkata, MGA dijangka akan membuat pemilihan dan ketetapan pemain yang bakal beraksi di Sukan SEA pada Ogos depan.
“Saya berharap dengan kedudukan ranking ketiga amatur kebangsaan ketika ini, ada peluang untuk disenaraikan dalam kontinjen negara ke Sukan SEA.
“Namun, saya sedar perlu terus berusaha meningkatkan prestasi dan mengekalkan kedudukan terbaik itu sehingga pemilihan ditentukan MGA, bagi memastikan kedudukan berkenaan tidak dipintas pemain lain,” katanya yang memaklumkan akan menyertai satu kejohanan golf di Thailand, bulan depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd