Ziarah Seni MADANI FINAS santuni Bapa Animasi Malaysia, Hassan Muthalib

Ziarah Seni MADANI FINAS santuni Bapa Animasi Malaysia, Hassan Muthalib

Kuala Lumpur : Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerusi program Ziarah Seni MADANI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyantuni tokoh animasi negara, Hassan Abdul Muthalib di kediamannya dekat Pandan Indah, di sini, hari ini.

Hassan Muthalib adalah penerima Anugerah Khas Karyawan Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM34) baru-baru ini, juga dikenali sebagai Bapa Animasi Malaysia kerana menjadi perintis utama dalam dunia animasi dan sinema negara.

Karya beliau antaranya siri animasi Hikayat Sang Kancil serta buku dokumentasi penting “From Mouse Deer to Mouse: 70 Years of Malaysian Animation” yang merekodkan sejarah tujuh dekad perkembangan animasi tempatan.

Dalam kunjungan menerusi program itu, Fahmi menyampaikan sumbangan tunai dan barangan keperluan harian.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Ahli Perbadanan FINAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Rozaidi Abd Jamil atau Zed Zaidi; Presiden-presiden persatuan serta wakil penaja.

FINAS dalam satu kenyataan memaklumkan pelaksanaan program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan perbadanan itu khususnya dari aspek kesejahteraan sosial dan kebajikan warga industri kreatif.

“Menerusi program ini, FINAS berharap dapat memperkukuh semangat solidariti dan penghargaan terhadap legasi penggiat seni yang banyak berjasa kepada industri.

“Sesi kunjungan di bawah program Ziarah Seni MADANI adalah inisiatif Kementerian Komunikasi melalui FINAS sebagai salah satu usaha menzahirkan penghargaan atas jasa dan sumbangan penggiat industri kreatif tanah air.” tulis kenyataan itu.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Yayasan FELDA, Eco Marine Group of Companies, Koperasi Al-Najah (KL) Berhad, AHB Holdings Berhad, dan Angkasaraya Holdings Berhad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top