Zidane nafi tinggalkan Santiago Bernabeu

Zidane nafi tinggalkan Santiago Bernabeu

MADRID – Zinedine Zidane menafikan khabar angin mendakwa dia akan meninggalkan Stadium Santiago Bernabeu Jun ini.

Pengurus Real Madrid itu terkejut selepas laporan tular di Sepanyol kononnya dia telah memaklumkan pemain pasukannya akan meninggalkan pasukan gergasi La Liga Sepanyol itu musim ini.

Laporan media mendakwa pengurus warga Perancis itu sudah memaklumkan pasukannya pada minggu lalu dia akan meninggalkan kelab itu akhir musim La Liga 2020/21
ini.

Zidane telah membantu pasukannya menang 1-0 ke atas Atletic Bilbao pada Ahad untuk mengheret penentuan juara liga ke perlawanan terakhir musim ini.

“Bagaimana saya boleh memberitahu pemain bahawa saya akan tinggalkan kelab sekarang sedangkan kami mencurahkan segala tenaga untuk menjulang gelaran La Liga musim ini.

“Orang di luar kelab akan cakap apa sahaja yang mereka suka untuk menyedapkan hati mereka di sebalik mengeruhkan keadaan dalam kelab tetapi saya tak perlu mempedulikan perkara itu.

“Namun saya tidak pernah sesekali memaklumkan kepada mereka (pemain) bahawa saya akan tinggalkan kelab ini,” katanya.

Real menduduki tempat kedua dalam carta La Liga dengan perbezaan dua mata di belakang pendahulunya Atletico Madrid yang bangkit menundukkan Osasuna 2-1 dalam aksi La Liga semalam.

Anak buah Zidane akan berdepan Villarreal perlawanan terakhir kempen La Liga musim ini di Bernabeu pada Ahad nanti.

Sekiranya Atletico kalah atau seri dengan Real Valladolid ia sekaligus akan memastikan Real akan dinobatkan juara La Liga musim ini.

“Kita kini fokus perlawanan terakhir musim ini dan akan tunggu lihat pada hari terakhir kesudahannya nanti.-MalaysiaGazette

Scroll to Top