Zii Jia cari rakan sparring

Zii Jia cari rakan sparring

Pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia ketika ditemu bual selepas bertemu Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin di Petaling Jaya, pada Rabu. – Foto Bernama

PENCARIAN rakan sparring buat Lee Zii Jia merupakan antara perkara yang dibincangkan pemain perseorangan profesional negara itu bersama Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, beliau dan Hamidin turut menyentuh mengenai perancangan untuk menjalani latihan di luar negara dalam memastikan peningkatan prestasinya menjelang temasya sukan berprestij berkenaan.

“Ia (perbincangan) termasuk juga perancangan untuk saya sertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk gunakan fasiliti, kita akan lihat apa rancangan lain yang Datuk Hamidin buat.

“Masalah jurulatih sudah selesai, jadi saya harap ia akan membawa saya dan pasukan haluan yang bagus untuk ke Olimpik ini,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama Hamidin semalam.

Perbincangan itu bagi membincangkan keperluan selain persediaan Zii Jia untuk berentap dalam kejohanan antarabangsa.

Selain itu Zii Jia memaklumkan jurulatih baharunya, Wong Tat Meng memerlukan masa kira-kira sebulan untuk menyelesaikan urusan di Hong Kong.

Katanya, segala perancangan mengenai latihan bagi program Road To Gold (RTG) akan diketahui sebaik Tat Meng tiba di Malaysia.

Tat Meng, yang juga merupakan bekas jurulatih kebangsaan, sebelum ini berkhidmat untuk beberapa pasukan di luar negara termasuk pasukan kebangsaan Korea Selatan dan Hong Kong.

Zii Jia telah beraksi tanpa jurulatih sepenuh masa selepas berpisah dengan bekas jurulatihnya Indra Wijaya dari Indonesia akhir tahun lepas.

Pemain kelahiran Kedah itu dijadual untuk membuat penampilan seterusnya pada Terbuka Singapura minggu hadapan diikuti Terbuka Indonesia.

Sebelum ini, Zii Jia tersingkir seawal pusingan kedua Masters Malaysia selepas ditewaskan wakil Taiwan Lin Chun-Yi 19-21, 21-26, 15-21. – Bernama