Zii Jia dedah hadapi cabaran mental dalam usaha kembali ke gelanggang

Zii Jia dedah hadapi cabaran mental dalam usaha kembali ke gelanggang

PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mendedahkan bahawa beliau melalui situasi ‘sedikit kemurungan’ sepanjang tempoh lima bulan tidak turun ke gelanggang susulan kecederaan dan ketidaktentuan mengenai kariernya.

Pemain berusia 27 tahun itu bakal membuat kemunculan semula minggu ini pada Kejohanan Dunia 2025 berlangsung di Adidas Arena Paris, iaitu venue sama (ketika itu dikenali Arena Porte de la Chapelle) menyaksikan beliau memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.

“Sepanjang lima bulan itu… saya bukan sahaja berdepan kecederaan tetapi juga tekanan dan sudah tentu menghadapi sedikit kemurungan.

“Ini bukan sesuatu yang normal (berehat selama lima bulan). Saya pernah berada dalam situasi… saya mahu berhenti bermain kerana semua kecederaan dan perkara yang membelenggu saya. Ini kali pertama saya berdepan dengan kecederaan seperti ini. Apabila ia berlaku saya terkejut dan tidak tahu apa perlu dilakukan,” katanya seperti dipetik dalam artikel disiarkan di laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Ahad.

Zii Jia mengalami kecederaan buku lali ketika menyertai Jelajah Dunia Akhir pada Disember lepas dan kembali beraksi dalam Masters Orleans pada Mac yang menyaksikan beliau tewas kepada wakil Belanda, Nhat Nguyen 21-23, 7-21 di suku akhir.

Pemain dari Alor Setar, Kedah itu kemudiannya beraksi pada kejohanan All England tahun ini, namun tersingkir pada pusingan pertama selepas tewas kepada Angus Ng Ka Long dari Hong Kong 21-19, 16-21, 12-21.

Juara All England 2021 itu menarik diri dari Terbuka Switzerland susulan kecederaan buku lali.

Sementara itu, Zii Jia berkata, beliau sengaja mengasingkan diri daripada berita badminton dan gangguan di media sosial bagi mengatasi pergelutan dialaminya.

Beliau memilih untuk melakukan sesuatu yang disifatkan “perjalanan penyembuhan” merangkumi aktiviti membaca, mengembara secara solo, terjun udara di Dubai serta melawat muzium seni di Abu Dhabi.

“Saya juga mengembara untuk segarkan fikiran. Saya agak obses dengan seni. Saya sedar melalui seni mampu mengekspresikan perasaan kita, bukan sahaja sisi indah tetapi kadangkala sisi gelap juga. Sebab itu saya kongsikan gambar-gambar tersebut,” katanya.

Pada Julai lepas, pemain itu memuat naik beberapa hantara misteri (antaranya menampilkan imej kurang menyenangkan termasuk figura berjahit memegang jarum berlumuran darah), sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai maksudnya di sebaliknya.

Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-52 dunia akan membuka kempen Kejohanan Dunia berdepan wakil Korea Selatan Jeon Hyeok Jin. – Bernama

 

 

Scroll to Top