Zii Jia kembali dengan hantaran penuh tanda tanya

Zii Jia kembali dengan hantaran penuh tanda tanya
Antara lakaran yang dikongsikan Zii Jia di media sosialnya.

Antara lakaran yang dikongsikan Zii Jia di media sosialnya.

LEE ZII JIA mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat badminton negara selepas berkongsi beberapa lakaran gambar di media sosial.

Hantaran misteri itu yang kini mengumpul lebih 71,000 tanda suka dan 1,000 komen, menimbulkan spekulasi mengenai maksud di sebalik perkongsian tersebut.

Pemain perseorangan profesional negara yang kini berada di ranking ke-27 dunia itu dijangka akan kembali ke gelanggang pertandingan di Kejohanan Terbuka Jepun yang berlangsung dari 15 hingga 20 Julai ini.

Kedudukan ranking Zii Jia sebelum ini merosot ke luar kelompok 20 teratas dunia, berikutan hanya beraksi dalam dua kejohanan tahun ini selepas kecederaan buku lali kanan yang dialaminya di Final Jelajah Dunia pada Disember lalu.

Kali terakhir pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu beraksi adalah di Kejohanan Seluruh England pada Mac lalu yang mana beliau tewas pada pusingan pertama.

Zii Jia, yang merupakan juara Seluruh England 2021 setelah menewaskan Viktor Axelsen dengan keputusan 30-29, 20-22, 21-9, kemudian menarik diri daripada Kejohanan Badminton Asia di China pada April untuk fokus kepada pemulihan kecederaannya.

Dengan Kejohanan Dunia di Paris bakal berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos depan, Zii Jia perlu segera kembali bersaing untuk mendapatkan pemanasan badan yang berkualiti.

Terbuka Jepun dan Terbuka China (22 hingga 27 Julai) merupakan dua kejohanan besar terakhir sebelum Kejohanan Dunia.

Scroll to Top