Zii Jia perlu jurulatih dan pasukan yang bagus – Rashid

Zii Jia perlu jurulatih dan pasukan yang bagus – Rashid

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia perlu diberi sokongan moral supaya prestasi permainannya bertambah baik dan cemerlang.

Bekas pemain badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, pemain itu juga perlu ada perancangan dan pasukan yang bagus untuk mengenal pasti kelemahannya, di samping meningkatkan prestasi permainan yang lebih bagus dan kemas.

“Pada saya, Zii Jia kena ada perancangan dan team yang bagus untuk kenal pasti apa kelemahan dia dan untuk tingkatkan lagi prestasi permainannya.

“Kita tidak boleh lemahkan semangat dia, yang penting kita kena bagi sokongan supaya prestasinya akan bertambah, sekali gus kekal sebagai salah seorang pemain yang baik,” katanya selepas menghadiri program Charity At Heart anjuran Milo di Pavilion Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan prestasi kurang memuaskan Zii Jia dalam pertandingan badminton terbuka.

Beliau perlu segera mendapatkan khidmat seorang jurulatih bagi mengembalikan semula prestasinya pada tahap terbaik selepas kemerosotan sejak kebelakangan ini.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj dilaporkan berkata, individu itu tidak semestinya bekas pemain, namun paling penting mampu mengembalikan corak permainan jaguh berusia 24 tahun tersebut.

Rashid bersetuju dengan pendapat beberapa profesional badminton bahawa Zii Jia memerlukan seorang jurulatih.

“Kalau saya sendiri (ditempat Zii Jia), saya perlukan seorang jurulatih, selain memerlukan satu team yang bagus dari segi urusan untuk permainan.

“Yang penting dia sendiri tumpu untuk bermain dan lawan saja. Selain daripada itu ada team dia yang uruskan.

Sebab untuk menjadi pemain top level bukan senang, kena ada Latihan yang keras, persiapan dan perancangan yang rapi,” katanya.

Bagaimanapun, katany, tiket untuk menang bukan senang. – MalaysiaGazette