
Zii Jia mengesahkan tempat ke undian utama Terbuka Australia. Foto fail Bernama
PEMAIN perseorangan profesional negara Lee Zii Jia mengesahkan tempat ke undian utama Terbuka Australia selepas melepasi dua halangan pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Arena Quaycentre, Sydney, hari ini.
Bekas juara Terbuka Australia 2024 yang kini menghuni ranking ke-64 dunia itu terlebih dahulu menewaskan wakil Jepun, Shogo Ogawa, 24-22, 22-20 dalam tempoh 52 minit.
Bekas juara All England itu kemudian meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan seorang lagi pemain Jepun, Riki Takei, 15-21, 21-17, 21-16 dalam perlawanan yang berlangsung selama 61 minit.
Kejayaan itu menyaksikan Zii Jia membuat penampilan kedua dalam undian utama kejohanan Jelajah Dunia musim ini selepas Terbuka Thailand bulan lepas yang berakhir dengan penyingkirannya pada pusingan pertama.
Sebelum ini, beliau memilih untuk tidak menyertai Malaysia Masters meskipun layak secara automatik ke undian utama, sebaliknya memberi tumpuan kepada siri kejohanan Terbuka Australia, Macau, Amerika Syarikat dan Kanada.
Pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 500 itu esok, Zii Jia dijangka berdepan cabaran pemain Taiwan, Lee Chia Hao yang berada di ranking ke-29 dunia.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara Eogene Ewe turut mengesahkan tempat ke pusingan undian utama selepas bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan pemain Amerika Syarikat, Mark Shelley Alcala 18-21, 21-13, 21-11.
Beliau kemudiannya meneruskan momentum kemenangan dengan menundukkan pemain India, Manraj Singh 21-11, 21-18.
Eogene akan membuka kempen undian utama dengan menentang pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami seorang lagi wakil negara Lim Ming Hong yang gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 9-21, 16-21 kepada pemain India, Saneeth Dayanand pada pusingan kelayakan. – Bernama



