PETALING JAYA: Bekas pemain perseorangan lelaki No. 2 dunia, Lee Zii Jia terkandas seawal pusingan pertama selepas dia tunduk di tangan Jason Teh dari Singapura pada Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel, Switzerland, awal pagi tadi.
Zii Jia yang bergelut dengan kecederaan sepanjang tahun lalu sehingga menyebabkan rankingnya jatuh ke tangga No. 96 dunia tewas straight set kepada pemain ke-33 dunia itu 12-21, 14-21 dalam masa 27 minit.
Kedua-dua pemain yang belum pernah bertemu sebelum ini, kini meletakkan Jason mendahului rekod pertemuan ke atas Zii Jia 1-0.
Bagaimanapun, nasib berbeza mengiringi seorang lagi wakil perseorangan lelaki Malaysia, Justin Hoh yang menumpaskan pemain No. 35 dunia, Arnaud Merkle 20-22, 21-16, 21-17 dalam masa 1 jam 9 minit.
Justin yang menghuni ranking ke-38 dunia kini mendahului rekod pertemuan dengan keputusan dua kemenangan berbalas satu kekalahan ke atas pemain Perancis tersebut.
Pemain perseorangan No. 2 Malaysia itu akan menghitung pertemuan dengan wakil India, Tharun Mannepalli pada peringkat 16 terbaik, awal pagi esok (waktu Malaysia).
Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching yang kini mendaki ke tangga No. 37 dunia menewaskan pemain ke-32 dunia, Huang Yu Hsun dari Taiwan 21-14, 21-9 dalam masa 29 minit.
Ling Ching memiliki rekod baik ke atas Yu Shun dengan rekod kemenangan 4-0 kini dipegang anak jati Sarawak itu.
Pada pusingan kedua, Ling Ching akan berdepan pilihan pertama, Putri Kusuma Wardani dari Indonesia yang merupakan bintang No. 6 dunia.
Kedua-dua pemain belum pernah bertembung dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Turut mara ke peringkat seterusnya, beregu campuran Malaysia, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang menyingkirkan pasangan ke-31 dunia, Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk dari Denmark 21-18, 22-20 dalam masa 38 minit.
Beregu profesional yang kini menghuni ranking No. 23 dunia itu perlu melepasi halangan gandingan No. 10 dunia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dari Indonesia jika berhajat mara ke suku akhir.
Selain Zii Jia, tiga lagi wakil negara yang turut tersingkir seawal pusingan pertama adalah dua beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien serta perseorangan wanita, K. Letshanaa. – UTUSAN




