mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, gagal melangkah ke undian utama Masters Orleans 2026 selepas terkandas di pusingan kelayakan, hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu terpaksa akur apabila tewas kepada wakil China, Dong Tian Yao, dalam aksi pusingan kedua kelayakan yang berlangsung selama 36 minit.
Dalam perlawanan itu, pemain negara yang kini menghuni ranking ke-86 dunia tewas straight set 18-21, 14-21 kepada Tian Yao yang berada di kedudukan ke-74 dunia.
Kekalahan berkenaan menyaksikan Zii Jia gagal mara ke pusingan pertama undian utama kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 300.
Terdahulu, Zii Jia memulakan kempen dengan langkah positif apabila menewaskan wakil India, S Sankar Muthusamy Subramanian.
Dalam aksi pusingan pertama kelayakan, dia mempamerkan permainan meyakinkan untuk menang 21-12, 21-18.
Bagaimanapun, momentum itu tidak dapat diteruskan apabila berdepan tentangan sengit Tian Yao yang lebih konsisten selain berjaya mengawal tempo permainan.
Kekalahan itu sekali gus menamatkan cabaran Zii Jia lebih awal di Orleans Masters, sekali gus menangguhkan hasratnya mengumpul mata ranking penting menjelang kejohanan utama musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




