Zionis gempur Kota Lama Nablus

Zionis gempur Kota Lama Nablus

RAMALLAH – Tentera Israel melancarkan serbuan berskala besar di tengah-tengah Kota Lama Nablus di Tebing Barat pada Selasa. Penduduk Palestin di wilayah itu menyifatkan ia sebagai pencerobohan terbesar dalam tempoh lebih dua tahun.

Askar Zionis bertindak melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke arah orang awam termasuk anggota paramedik, selain menyerbu sejumlah kediaman. Wartawan, Mujahed Tabanja, yang berada di lokasi kejadian memaklumkan dua pemuda Palestin ditembak dan Israel kemudiannya menyekat akses ambulans kepada mangsa yang cedera.

Sementara itu, Persatuan Palang Merah Palestin (PRCS) memaklumkan lebih 60 orang awam cedera akibat serbuan besar-besaran tersebut. “Kebanyakannya cedera akibat ditembak dan sebahagian daripadanya menjadi mangsa tindakan kekerasan melampau Zionis,” ujar pegawai operasi PRCS, Fawaz al-Bitar.

Anggota PRCS cuba memindahkan mangsa cedera di Kota Lama tersebut walaupun dihalang tentera Israel. Foto AFP

Anggota PRCS cuba memindahkan mangsa cedera di Kota Lama tersebut walaupun dihalang tentera Israel. Foto AFP

Kempen serbuan terbaharu itu dilancarkan pada waktu tengah malam selepas Zionis mengerahkan sejumlah besar kenderaan tentera memasuki bandar Nablus dari pelbagai arah.

Israel mengumumkan kononnya operasi ketenteraan itu hanya akan berlangsung selama 24 jam dan tertumpu di Kota Lama tersebut.

Askar Zionis turut menggunakan sistem pembesar suara untuk mengumumkan perintah berkurung sehingga pagi Rabu, yang merupakan arahan pertama sejak Intifada Kedua pada tahun 2000. Akibat sekatan pergerakan itu, kebanyakan keluarga dilaporkan terputus hubungan dengan saudara-mara mereka yang lain.

“Tentera Israel berterusan mengacu senjata ke arah orang awam dan melarang mereka kembali ke Nablus. Serbuan ganas itu juga diperluaskan di bahagian lain termasuk Kem Balata yang didiami penduduk Palestin. Puluhan pemuda Palestin diberkas dan harta benda milik mereka dirampas,” ujar Tabanja.


Penduduk Palestin di bandar Nablus bimbang jika kempen pencerobohan itu berlarutan untuk jangka masa panjang. Foto AFP

Penduduk Palestin di bandar Nablus bimbang jika kempen pencerobohan itu berlarutan untuk jangka masa panjang. Foto AFP

Ketika ini, terdapat kebimbangan jika tempoh serbuan itu dilanjutkan dan Nablus bakal senasib dengan bandar Jenin dan Tulkarem yang terus digempur sejak beberapa bulan lalu. Anggota Jawatankuasa Penyelarasan Puak, Munadil Hanani percaya kempen pencerobohan itu boleh berlarutan untuk tempoh lebih lama.

“Ia jelas bukan untuk operasi jangka pendek kerana Israel turut membawa tangki bahan api untuk kenderaan tentera mereka. Kempen pencerobohan itu ternyata bermotifkan politik dan bukannya ada kaitan dengan keselamatan seperti didakwa askar Zionis,” tegasnya.

Menurutnya, rejim Tel Aviv berulang kali mendakwa matlamat mereka kononnya mahu menghapuskan keganasan sedangkan ia sebenarnya demi kepentingan peribadi Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, yang ketika ini cuba meningkatkan sokongan puak sayap kanan berikutan krisis dalaman yang sedang melanda kerajaan ‘ekstremis’ pimpinannya.

Operasi itu telah melumpuhkan Kota Lama Nablus berikutan premis perniagaan, sekolah, dan institusi awam tidak dapat beroperasi seperti biasa. Kempen serbuan ke atas Tebing Barat yang diperhebatkan sejak Perang Gaza meletus pada 7 Oktober 2023 turut menyasarkan kawasan pertanian dan perobohan struktur milik penduduk Palestin hingga menyebabkan ribuan hilang tempat tinggal sejak beberapa bulan lalu. – Agensi

Scroll to Top