Penyanyi dan aktivis, Zizi Kirana berdepan detik cemas yang ketika ini terbabit dalam kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Menurut Zizi, kapal bantuan yang disertainya dipercayai dikesan dron pengintip. Bagaimanapun, dron tersebut tidak dikesan secara terus di atas kapal dinaikinya namun sangat hampir dengan kapal lain.
BACA: Zizi Kirana Sertai Misi Ke Gaza, Reda Jika Tidak Pulang
“Seperti mana dilaporkan Instagram Global Sumud Flotilla, yang mana ada kapal-kapal Global Sumud Flotilla ini yang sudah didatangi oleh dron pengintip.
“Bukan di kapal kami tapi di kapal sahabat-sahabat lain dan kita memang berjalan, orang kata berlayar secara kumpulan. Jadi, semestinya mereka berada di berdekatan juga di sini,” katanya.
Sementara itu, Zizi berkata susulan kejadian itu semua anak kapal diarah untuk memakai jaket keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga sebagai persediaan.
Bagaimanapun, situasi cemas itu tidak berpanjangan apabila dron itu dilaporkan beredar tidak lama kemudian dan keadaan mereka di atas kapal dalam keadaan baik-baik sahaja.
“Selepas beberapa minit, alhamdulillah dron itu pun sudah pergi. Sebab dia tahu yang kita tahu dia datang. Alhamdulillah kita semua okay dekat atas kapal ni,” katanya.
Selain Zizi, pelakon Ardell Aryana turut menyertai Misi Global Sumud Flotilla yang menghimpunkan 44 buah negara untuk memecahkan kepungan kapal ke atas Gaza serta membina semula solidariti global.
Sumber: Harian Metro




