norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Zizi Kirana, 41, terus menarik perhatian ramai pada hantaran dimuat naik di platform Threads dengan perkongsian sebaris maksud ayat al-Quran mengenai perasaan berserah terhadap ketentuan takdir.
Pemilik nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil ini, menyifatkan Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-Nya dan menyerahkan segala ketetapan kepada Tuhan.
“Dan aku menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku) sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hamba Nya. Surah Ghafir ayat 44,” tulisnya berserta emoji hati berwarna putih.
Meskipun tidak menjelaskan secara terperinci, namun hantaran dikongsikan Zizi Kirana umpama gambaran peribadi yang tersirat dalam hatinya.
Pada ruangan komen, didapati maklum balas daripada netizen sangat positif serta bersetuju agar Allah sahaja yang menentukan segala urusan hamba-Nya kerana Dia yang lebih tahu keputusan terbaik.
Terdahulu, Zizi Kirana menjadi sorotan ramai di media sosial apabila didakwa tidak meraikan Aidilfitri dengan suami, Yusuf Bahrin, 34, dan masing-masing didapati meluangkan masa bersama keluarga secara berasingan.
Spekulasi yang timbul menjadi lebih hangat selepas kedua-duanya memuat naik gambar sambutan 1 Syawal, baru-baru ini di media sosial tanpa kehadiran pasangan di sisi.
Yusuf yang berkongsi foto bersama ahli keluarganya dengan kapsyen ringkas, “Raya dalam suasana tenang” sekali gus secara tidak langsung mengundang persoalan dalam kalangan warga maya.
Pada masa sama, Zizi Kirana juga didapati turut memuat naik gambar seorang diri tanpa kehadiran Yusuf dalam hantaran yang dikongsi.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 dan belum dikurniakan cahaya mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




