norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Aktivis kemanusiaan dan penyanyi, Zizi Kirana sangat berbesar hati dapat menunaikan permintaan kira-kira 200 ketua keluarga yang meminta bantuan kit kebersihan termasuk pakaian dalam yang diperlukan masyarakat Kampung Lubuk Pusaka, Aceh, Indonesia.
Zizi, 40, yang kini berada di Aceh sejak kelmarin bersama pasukan badan bukan kerajaan (NGO), Cinta Salam Malaysia (CSM) memaklumkan semua barangan bantuan dihulurkan itu disediakan mengikut permintaan daripada penduduk kampung.
“Ini barang-barang yang kita agihkan kepada 200 kepala (ketua) keluarga yang saya beritahu ada kit kebersihan dan sebenarnya agak istimewa juga untuk kali ini sebab mereka (penduduk kampung) yang meminta sendiri.
“Contohnya macam pakaian dalam wanita, mereka sendiri meminta untuk dibagi pakaian dalam sebab mereka cakap sudah berhari-hari tak ganti. Jadi, Alhamdulillah kita sediakan untuk mereka hari ini.
“Insya Allah kalau ada rezeki lagi lebih, anda semua (penderma) boleh salurkan (sumbangan) supaya kita boleh dapat beli lagi banyak untuk mereka yang sangat-sangat memerlukan,” katanya dalam hantaran video dimuatnaik di Instagram (IG).
Selain itu, ketika berkunjung menghantar bantuan misi kemanusiaan di Kampung Dusun Bidara pula, antara barangan keperluan diagihkan kepada kira-kira 240 penduduk ialah kit pembersihan, telekung, kain sarung dan snek makanan ringan untuk kanak-kanak.
“Ini adalah satu-satunya jalan yang elok yang boleh kita lalu sebab tadi apa dimaklumkan memang banyak jalan yang dah rosak (bagi menghubungkan antara satu kampung dengan kampung yang lain),” ujarnya dalam paparan video dikongsikannya.
Sementara itu, bantuan lain yang didapati turut dihulurkan CSM kepada penduduk kampung adalah tilam untuk mereka tidur dengan tenang tanpa berasa sakit badan.
Difahamkan selain Zizi, aktivis lain juga selebriti yang mengikuti misi bantuan kemanusiaan CSM ke Aceh ketika ini adalah Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi.
Bagi kebanyakan penduduk yang mendapat bantuan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana sudah membantu sekali gus meringankan beban yang ditanggung warga Aceh ketika ini.
Terdahulu pada 25 November lalu, sebanyak tiga daerah iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat dilanda banjir badang berserta tanah runtuh dengan himpunan kayu balak yang menyebabkan kemusnahan teruk.
Selain banyak mangsa banjir yang kehilangan nyawa, semua penduduk yang terselamat kehilangan tempat tinggal, segala harta benda serta banyak akses jalan raya yang terputus termasuk ketiadaan air bersih dan elektrik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




