Perbicaraan membabitkan pelakon dan usahawan terkenal, Zizie Izette terus menjadi perhatian apabila beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa wang pengenalan RM2.8 juta yang diterimanya adalah sah dan diberikan secara sukarela sebagai tanda penghargaan.

Zizie Izette terkejut terima wang penghargaan
Memetik laporan daripada Harian Metro, Zizie yang membela diri daripada tuduhan bersubahat dalam kes melibatkan pelaburan FELCRA Berhad berjumlah RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad menyatakan beliau terkejut apabila dimaklumkan akan menerima wang tersebut kerana memperkenalkan FELCRA kepada perunding unit amanah berkenaan.
“Ia kerana kami menguruskan hal ehwal kewangan berasingan, dan suami saya tidak terbabit dalam urusan perniagaan ataupun pelaburan saya.
“Saya menguruskan perkara itu sendiri. Oleh kerana bayaran pengenalan ini berkaitan dengan urusan peribadi saya, saya rasa tidak perlu untuk memaklumkan kepadanya.
“Saya tidak memberikan mana-mana wang daripada jumlah itu kepada suami saya, dan saya juga tidak menggunakan sebarang wang itu untuk suami saya.
“Saya tidak memaklumkan perkara ini kepada beliau dan saya sama sekali tidak bersubahat dengan beliau dalam sebarang salah laku,” katanya.

Zizie Izette sudah tanya berkali-kali sumber duit
Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamri, beliau menjelaskan bahawa sebelum menerima wang tersebut, beliau sudah bertanya berkali-kali mengenai sumbernya.
Mohamad Fadhly: Setuju saya katakan, bahawa semasa anda terima panggilan telefon untuk menerima wang RM2.8 juta ini, tiada sikit pun anda menolak pemberian wang ini.
Zizie Izette: Sebelum saya terima, saya sudah bertanya berkali kali, dari mana, macam mana, duit dari mana, setelah saya fikir semua, saya tidak menolak.
Mohamad Fadhly: Jadi anda tahu itu wang suapan dan bukan wang pengenalan?
Zizie Izette: Saya tidak setuju.

Artikel lain: Akui sukar, Zizie Izette perlu kuat demi anak-anak -“Saya benarkan diri untuk menangis…”
Menurutnya lagi, panggilan telefon pada 11 Jun 2015 memaklumkan bahawa agensi berkenaan ingin memberinya wang pengenalan sebagai strategi pemasaran dan tanda penghargaan.
Kes ini turut mengaitkan Allahyarham Bung Moktar Radin, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad. Jika sabit kesalahan, pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 memperuntukkan hukuman penjara dan denda mengikut peruntukan undang-undang.
Sumber: Harian Metro (Ahmad Johari Mohd Ali)




