Zizie Izette terhibur baca komen netizen

Zizie Izette terhibur baca komen netizen

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pelakon juga balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin iaitu Datin Seri Zizie Izette, 48, berasa terhibur dengan pelbagai komen daripada wargamaya terhadap dirinya dan arwah suami.

Menerusi hantaran dimuatnaik di Threads, ibu tunggal itu menyifatkan masing-masing yang menulis itu lebih ‘serba tahu’ segala macam dalam kehidupan dilalui berbanding dirinya sendiri.

“Baca cerita pasal diri sendiri dan arwah suami, kadang-kadang saya pun terhibur. Hebat betul, orang luar lagi tahu daripada tuan badan sendiri.

“Billion-billion katanya. Kalau betul, silakan tunjuk bukti. Janganlah main petik nama arwah dan sebarkan fitnah sesuka hati.

“Nak bergosip itu berpada-padalah. Arwah dah tak ada nak pertahankan diri. Banyakkan istigfar guys. Takut nanti dekat akhirat kena jawab satu-satu.

“Anyway, semoga kita semua dijauhkan daripada dosa fitnah,” tulisnya pada hantaran itu berserta emoji hati berwarna putih.

Pada hantaran lain, menjawab pertanyaan seorang pengguna media sosial yang memaklumkan cara hidup mewah dipaparkan Zizie di media sosial yang menimbulkan salah faham itu.

Kakak kepada pelakon Shaheizy Sam ini berkata dia sangat bersyukur.

“Alhamdulillah, saya tak kata susah. Makan pakai cukup, bil boleh bayar, anak-anak boleh bersekolah. Saya sangat bersyukur dengan kehidupan saya sekarang.

“Mewah-mewah sangat itu tidaklah. Kalau nampak saya shopping, travel dan enjoy life, tak bermakna saya ada kekayaan berbillion ringgit.

“Apa yang orag nampak di media sosial tak semestinya menggambarkan keseluruhan kehidupan seseorang. Apapun, maaf diterima ya,” katanya turut membalas permohonan maaf individu yang meninggalkan komen itu.

Pada 5 Disember tahun lalu, Bung Moktar menghembuskan nafas terakhir akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah.

Zizie dan Allahyarham Bung Moktar mendirikan rumah tangga pada 2009, dan mereka hidup bersama selama 16 tahun dan dikurniakan lima cahaya mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top