Zoey tak pernah heboh ketika bercinta

Zoey tak pernah heboh ketika bercinta

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Siri akhir

Masih bujang pada usia 41 tahun, semestinya perihal jodoh akan menjadi pertanyaan utama perlu dihadapi oleh Zoey sebagai selebriti.

Berbicara mengenainya, Zoey atau nama sebenar Mohd Hairey Azhar Abd Rahman menjelaskan dia sentiasa yakin jodoh seseorang itu sudah diaturkan Allah yang menentukan segalanya sama ada cepat atau lambat.

“Sebenarnya saya sudah dua kali gagal dalam hubungan percintaan. Cuma, saya tidak suka hendak heboh-heboh sebab saya bukan jenis yang menjual cerita cinta dengan orang itu atau dengan orang ini .

“Apatah lagi, individu yang saya jatuh hati pada masa dulu itu adalah insan biasa yang bukan berada dalam industri. Jadi, tidak perlu orang tahu siapa dia, malah sekarang pun mereka sudah berkahwin.

“Kalau tidak silap saya, seorang daripada bekas kekasih berkahwin dengan pelakon dan seorang lagi bersama peguam. Saya pun tak ingat sangat kerana lebih baik mendoakan mereka berbahagia dengan kehidupan,” katanya.

Menurut Zoey, sebagai anak seni dia memang sangat berahsia dalam hal yang serius seperti percintaan dan soal peribadi.

Katanya, hanya orang yang rapat sahaja tahu bila dia bercinta atau tidak.

“Bagaimanapun, dalam berahsia itu ada juga ahli kelab peminat yang tahu siapa kekasih saya. Tetapi, mereka (peminat) semua baik kerana sudi sama-sama tolong simpankan rahsia saya daripada tersebar luas.

“Ini kerana mereka sebagai peminat setia yang menyokong kerjaya seni saya sangat sayangkan saya sampai walaupun tahu dengan siapa saya bercinta atau keluar dating’, mereka tetap mengunci mulut. Saya rindu kepada peminat saya,” katanya.

Ditanya pendekatan dirinya yang tenang dan matang menghadapi gosip, Zoey berkata, dia amat bersyukur kerana mempunyai pengurus yang tegas dan bermulut ‘pedas’ apabila memberi teguran.

“Sebenarnya, saya sudah dilatih oleh pengurus untuk menjadi berani kerana benar ketika berhadapan gosip. Selain itu, saya juga perlu sentiasa bertenang dan fikir dulu sebelum bercakap. Ini sangat penting agar tidak terikut emosi.

“Paling hebat lagi sebenarnya, saya lebih dulu dimarahi oleh pengurus jika terkait dengan gosip. Walaupun tidak dinafikan gosip adalah lumrah kehidupan artis, tetapi pengurus saya sangat menjaga dan berhati-hati,” katanya.

Menyentuh harapannya pada karier seni, Zoey berkata, dia masih berlakon dan mengacara sekalipun jarang muncul di kaca televisyen seperti dulu. Katanya, minat dan bakat sudah sebati dalam diri walaupun kini sibuk mengurus perniagaan.

“Seperti jodoh, saya juga percaya dan yakin kepada rezeki yang Allah beri dan aturkan. Setakat ini, rasanya Allah sudah bagi saya banyak dan apa yang diperlukan. Jadi, seronok juga bila beri laluan sekejap kepada orang lain.

“Apa-apa pun, saya selalu bersedia untuk aktif semula. Sebabnya, saya tidak pernah takut dan rasa ‘insecure’ (tak selamat) kerana persaingan dalam industri masa kini yang semakin ramai bakat baharu serta muda.

“Saya hanya berharap kepada Allah sebab macam mana pun Dia yang memberi rezeki. Alhamdulillah, selepas ini saya akan sibuk kembali dalam karier seni kerana cuba menyanyi pula. Jadi, saya perlu masuk kelas vokal, insya-Allah,” katanya.

Pada Ramadan lalu, buat pertama kali Zoey berduet dengan penyanyi, Elliza Razak merakamkan lagu raya berjudul Kita Dah Raya hasil ciptaan komposer RiaRaiba dan lirik ditulis olehnya sendiri.

Katanya, pembabitannya sebagai penyanyi bermula apabila dicadangkan pengurusnya apabila diingatkan agar bakat dikurniakan oleh Tuhan wajar untuk cuba dikembangkan supaya terus berjaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top