Zoo Negara nafi haiwan tak cukup makan

Zoo Negara nafi haiwan tak cukup makan

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Zoo Negara menafikan dakwaan haiwan di fasiliti itu dibiarkan kelaparan, tidak dijaga dengan baik atau kelihatan lemah.

Timbalan Presidennya Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, semua haiwan sebaliknya dijaga dengan baik mengikut prosedur kesihatan ketat.

Katanya, ia termasuk pengawasan berkala yang dilakukan pakar veterinar dan kakitangan terlatih, selain haiwan tidak sihat dipantau dan dirawat setiap hari.

Beliau berkata, Zoo Negara juga memastikan haiwan tidak mengalami kenaikan berat berlebihan yang boleh membahayakan kesihatan mereka.

“(Dakwaan) ini tidak benar sama sekali. Pengunjung boleh datang dan lihat sendiri keadaan haiwan di sini, contohnya, harimau kami tidak kurus.

“Haiwan di Zoo Negara dijaga mengikut keperluan spesies masing-masing, bukan seperti haiwan peliharaan di rumah. Mereka diberi diet terkawal, selain kami memantau kesihatan mereka dengan teliti.

“Haiwan di sini mempunyai jadual pemakanan tetap dan jumlah makanan yang dikawal kerana dikhuatiri berdepan kesan negatif ke atas kesihatan, jika berat badan berlebihan,” katanya.

Media baru-baru ini, melaporkan seorang pempengaruh menyuarakan kekecewaan terhadap pengurusan Zoo Negara, mendakwa haiwan di fasiliti itu dilihat terabai.

Pempengaruh itu juga mendakwa, kebanyakan haiwan kelihatan lemah, tidak aktif dan kurang berat badan.

“Kita boleh nampak haiwan di sini gembira atau tak. Perut harimau dilihat kempis sedangkan pemberi makan di Zoo Negara memiliki perut lebih besar dan beberapa haiwan kelihatan sakit.

“Kandang haiwan dilihat tidak teratur, manakala air di dalam akuarium juga keruh,” dakwanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top