Zoo Tennoji perlu buktikan kemampuan laksana pembiakan spesies terancam – PERKAM

Zoo Tennoji perlu buktikan kemampuan laksana pembiakan spesies terancam – PERKAM

IPOH – Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM) menggesa satu badan bebas ditubuhkan bagi memantau keadaan tiga ekor gajah Asia Malaysia yang dihantar ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, selain mempersoalkan kemampuan zoo berkenaan melaksanakan program pembiakan spesies terancam.

Presidennya, Profesor Dr Santharasekaran Subramaniam berkata, habitat semula jadi atau pusat konservasi yang dibangunkan menyerupai habitat asal kekal menjadi lokasi terbaik bagi pembiakan spesies terancam, manakala zoo hanya berperanan sebagai pusat perlindungan atau simpanan baka dalam keadaan tertentu.

Menurut beliau, pemindahan tiga ekor gajah iaitu Dara, Kelat dan Amoi (DAK) ke Zoo Tennoji tidak wajar kerana zoo berkenaan didakwa belum membuktikan kejayaan program pembiakan gajah.

“Dalam konteks konservasi, zoo bukanlah lokasi utama untuk pembiakan spesies terancam. Habitat semula jadi atau pusat santuari yang menyerupai habitat asal adalah tempat paling sesuai untuk tujuan itu.

“Zoo hanya menjadi pilihan terakhir sebagai pusat simpanan baka bagi spesies yang berada pada tahap kritikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Santharasekaran berkata, pemantauan bebas itu penting bagi memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan haiwan berkenaan sentiasa terpelihara.

Santharasekaran berkata, pemantauan bebas itu penting bagi memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan haiwan berkenaan sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, Gajah Asia Malaysia masih dikategorikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN) dengan populasi dianggarkan antara 1,200 hingga 1,800 ekor, sekali gus berpendapat usaha pembiakannya masih boleh dijalankan di Malaysia.

Mengulas lanjut, Santharasekaran mendakwa Zoo Tennoji pernah berdepan kematian dua ekor gajah yang menyebabkan zoo itu tidak mempunyai gajah selama lapan tahun sebelum menerima tiga ekor gajah dari Malaysia pada Mac lalu.

Menurutnya, ketiga-tiga gajah itu mula dipamerkan kepada pengunjung pada April lalu dan sejak itu keadaan serta tingkah laku haiwan berkenaan menjadi perhatian pelbagai pihak.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap dakwaan kemungkinan berlakunya aktiviti pembiakan secara paksa atau force breeding di zoo berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui Majlis Perbandaran Taiping (MPT) sebelum ini telah menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan perkara itu tidak dibenarkan berdasarkan syarat yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

“Namun, persoalan yang timbul ialah bagaimana perkara itu boleh dipastikan tidak berlaku sekiranya tiada pemantauan bebas dijalankan,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan kehadiran mahut yang mempunyai kepakaran menggunakan ubat pelali di Zoo Tennoji, sambil meminta penjelasan mengenai tujuan sebenar penugasan berkenaan.

Selain itu, beliau mendakwa tingkah laku gajah jantan, Kelat, yang beberapa kali diasingkan daripada dua gajah lain menimbulkan persoalan sama ada haiwan itu mengalami tekanan akibat pengurusan di zoo berkenaan.

Sehubungan itu, PERKAM menggesa satu pasukan pemantau bebas yang dianggotai doktor veterinar, pakar konservasi, aktivis perlindungan gajah dan wakil pertubuhan alam sekitar diwujudkan bagi menilai keadaan sebenar tiga ekor gajah tersebut.

Menurut Santharasekaran, pemantauan bebas itu penting bagi memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan haiwan berkenaan sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, sekiranya terbukti berlaku pembiakan secara paksa atau sebarang bentuk pengabaian terhadap kebajikan gajah berkenaan, memorandum persefahaman itu perlu dibatalkan dan ketiga-tiga haiwan tersebut dibawa pulang ke Malaysia.

Scroll to Top