zaidim@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pemain bass XPDC, Zuar bersama isteri dan dua cahaya matanya disahkan positif COVID-19 sejak Sabtu lalu.
Zuar atau nama sebenarnya, Azuar Md Tasi memberitahu, dia dan keluarganya kini menjalani tempoh kuarantin kendiri di rumahnya di Pantai Dalam, Bangsar.
“Saya hanya menunggu panggilan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk proses selanjutnya. Sekarang saya, isteri dan dua cahaya mata melakukan kuarantin kendiri di rumah.
“Nasib baik, anak sulung dan kedua bebas COVID-19. Jadi, saya tidak mengizinkan mereka pulang ke rumah,” katanya kepada BH Online.
Zuar berkata, dia tidak tahu bagaimana boleh mendapat jangkitan COVID-19.
“Saya hanya mampu bertawakal dan reda dengan ujian Allah. Tiada siapa mahu dijangkiti virus berbahaya ini termasuklah saya dan keluarga. Ini ujian yang perlu ditempuhi kami anak beranak.
“Alhamdulillah, saya dibantu dengan ihsan dan bantuan termasuk Pengerusi Lajnah Sukan, Kesenian dan Kebudayaan (Lestari) PAS, Dr Riduan Mohamad Nor.
“Sebelum ini, beliau ada membantu membantu vokalis XPDC, Ali yang cedera melecur ketika membakar sampah di rumahnya,” katanya.
Terdahulu, tular berita mengenai Zuar yang disahkan positif COVID-19 dalam media sosial.
Malah, Zua yang turut aktif dalam aktiviti dakwah sejak 2009 bersama Muslim Care dikatakan memerlukan sumbangan, selain doa untuk kembali pulih seperti biasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




