Zul Ariffin nafi 'anak emas'

Zul Ariffin nafi 'anak emas'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon berkaliber, Zul Ariffin, 38, menyangkal dakwaan keakraban hubungan mesra antaranya dengan Penerbit Eksekutif Infinitus Entertainment (M) Sdn Bhd, Gayatri Su-lin Pillai menjadi faktor dia selalu menjadi ‘pilihan utama’ sebagai hero untuk filem terbitan produksi itu.

Zul berkata, dia juga bukanlah ‘anak emas’ dalam produksi terbabit berikutan kerjasama yang dipersetujui secara profesional di mana tawaran filem diterimanya bergantung kepada watak yang betul-betul sesuai dan boleh dilakonkan dengan baik.

“Saya tak nafikan kerana tahu ada juga rakan yang bergurau cakap sebegitu (kaitkan hubungan rapat dengan Gayatri). Bagi saya, tiada masalah pun. Memang selalu begitu dan kalau tengok stesen TV pun sama juga, kadang-kadang pusing orang (pelakon) yang sama saja.

“Cuma, sebenarnya yang mungkin orang tak tahu, Gayatri adalah individu yang langsung tidak ‘pilih bulu’. Bila-bila masa saja dia boleh ambil orang lain dan tidak pilih saya pun selain saya tak akan pernah dapat ‘diskaun’,” katanya.

Bintang filem Sheriff: Narko Integriti ini memberitahu, Infinitus Entertainment adalah produksi pertama yang membuka laluan kepadanya dalam bidang perfileman berskala besar dengan skrip yang mantap.

“Projek pertama saya bersama Infinitus Entertainment adalah filem J Revolusi dan selepas itu ada banyak lagi. Kebanyakan kerjasama ini terjadi sebab bila kita beri kerja yang mereka (Infinitus) suka, mereka akan terus ambil lagi (untuk kerja lain) selepas itu.

“Jadi, kalau kata saya ‘anak emas’ Infinitus Entertainment, mungkin itu boleh jadi sebab persepsi orang. Sebenarnya kalau hendak diikutkan, kadang-kadang penerbit atau syarikat produksi besar macam Skop Production pun, akan pusing muka (pelakon) yang sama juga.

“Bukan hendak cakap itu adalah konsep ‘kroni’, tetapi saya percaya masing-masing (produksi) sudah tentu ada ‘team’ (pasukan) sendiri yang mereka mungkin lebih selesa untuk bekerjasama.

“Begitu juga saya dengan pasukan Infinitus. Ditambah pula, ia adalah syarikat produksi pertama yang beri peluang kepada saya untuk menjadi pelakon filem (berskala besar) dengan kesesuaian bajet mereka,” katanya.

Selain filem J Revolusi, karya layar perak lain terbitan Infinitus yang menampilkan Zul sebagai ‘hero’ atau bintang utama adalah Sangkar, Talbis Iblis, J2: J Retribusi dan beberapa lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top