Zulfahmi tambah kestabilan jentera tengah IFC

Zulfahmi tambah kestabilan jentera tengah IFC

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Imigresen FC (IFC) mengumumkan pendaftaran seorang lagi pemain import apabila pemain tengah kelahiran Singapura, Zulfahmi Arifin akan bersama mereka meneruskan cabaran pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Perkembangan itu dimaklumkan melalui laman rasmi skuad The Mighty Tigers, hari ini apabila pemain berpengalaman dan pernah beraksi di Liga Thailand, Singapura dan Indonesia berusia 34 tahun itu diikat melalui pinjaman dari kelab Indonesia, Persis Solo.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IFC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan, perancangan ini adalah sebahagian daripada langkah strategik bagi memperkukuhkan pasukan agar kekal berdaya saing serta mencapai sasaran ditetapkan dalam saingan Liga Malaysia.

“Kehadiran Zulfahmi yang memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa dan liga serantau adalah langkah strategik Imigresen FC dalam usaha untuk memperkukuhkan barisan tengah pasukan dan mengisi kuota pemain Asean untuk baki saingan Liga Malaysia musim 2026.

“Beliau yang melakukan lebih 60 caps dengan skuad kebangsaan Singapura dijangka mampu menyumbang kestabilan, kreativiti, serta dimensi baharu dalam perancangan dan gerak kerja serangan pasukan.

“IFC percaya kualiti, pengalaman dan kepimpinan Zulfahmi akan menjadi aset penting dalam pasukan,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, IFC turut menyenaraikan dua lagi pemain iaitu penyerang kelahiran Senegal, Babacar Gueye, 31, dan pemain pertahanan, Nicholas Swirad, 34.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top