Indian Wells: Pemain nombor dua dunia dan pilihan utama, Alexander Zverev, tersingkir di pusingan kedua Indian Wells selepas tewas 4-6, 7-6 (7/5), 7-6 (7/4) kepada pemain nombor 43 dunia, Tallon Griekspoor.
Zverev, mengetuai kejohanan ATP Masters yang berprestij itu selepas pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, digantung selama tiga bulan kerana kesalahan doping, menjadi pilihan pertama di Indian Wells yang tewas dalam pusingan pembukaan sejak Andy Murray pada 2017.
Kekalahan dalam perlawanan penuh ketegangan di Stadium Court itu meneruskan rentetan prestasi hambar Zverev sejak dia tewas kepada Jannik Sinner dalam final Terbuka Australia.
Sejak itu Zverev secara berterusan terkandas awal bermula di Buenos Aires, Rio de Janeiro, dan Acapulco.
Pemain Jerman itu menyelamatkan lima mata akhir dalam permainan ke-12 yang penuh ketegangan pada set ketiga, akhirnya menukar break point kelima dalam permainan ke tiebreaker.
Namun, Griekspoor menamatkan perlawanan pada peluang pertama di set penentuan, dan pemain Belanda itu amat gembira berjaya menewaskan pemain yang mengalahkannya empat kali tahun lalu.
Griekspoor akan bertemu pemain Perancis, Giovanni Mpetshi Perricard, pilihan ke-29, yang sedang mendahului 6-4 apabila pemain Hungary, Fabien Marozsan, menarik diri daripada perlawanan pusingan kedua mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




