Zverev teruskan misi bangkit di Munich

Zverev teruskan misi bangkit di Munich

Munich: Pilihan utama kejohanan, Alexander Zverev mara ke suku akhir Terbuka Munich selepas mudah menewaskan rakan senegara, Daniel Altmaier 6-3, 6-2 dalam tempoh 79 minit.

Kemenangan itu membawa pemain ranking ketiga dunia itu ke suku akhir ATP ke-99 dalam kariernya, ketika dia memburu kejuaraan pertamanya di Munich sejak kali terakhir menjuarai kejohanan berkenaan pada 2018.

Zverev, 27, kini dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan sejak tewas di final Terbuka Australia kepada Jannik Sinner, Januari lalu.

Sejak itu, dia gagal melepasi peringkat suku akhir dalam enam kejohanan berturut-turut, termasuk tewas mengejut di pusingan pertama Masters Monte Carlo kepada Matteo Berrettini minggu lalu – yang turut menggagalkan usahanya merebut takhta nombor satu dunia.

Zverev bakal bertemu sama ada Yannick Hanfmann atau wakil Belanda, Tallon Griekspoor, bagi merebut tempat ke separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top