Melbourne: Pemain tenis nombor dua dunia, Alexander Zverev, menegaskan bahawa dia memiliki mentaliti untuk meraih kejuaraan Grand Slam pertamanya, namun mengakui Jannik Sinner menjadi pilihan utama untuk mempertahankan gelaran Terbuka Australia.
Pemain Jerman itu memasuki kejohanan besar pertama tahun ini dengan keyakinan tinggi selepas memenangi gelaran Masters Rom dan Paris 1000 dalam beberapa bulan terakhir.
Prestasinya cemerlang hingga mencatat lebih banyak kemenangan berbanding pemain lain kecuali pemain nombor satu dunia, Sinner, musim lalu, sekali gus melonjakkan Zverev ke ranking tertinggi dalam kariernya.
Namun, gelaran Grand Slam terus menjadi sasaran yang belum dicapai hampir sedekad, dengan pencapaian terbaiknya setakat ini adalah naib juara di Terbuka Amerika Syarikat 2020 dan Terbuka Perancis tahun lalu.
“Lihat, saya rasa semua orang tahu apa yang saya kejar. Semua orang tahu matlamat dan impian saya, kan? Ia adalah untuk menang,” katanya.
“Apabila anda memasuki Grand Slam sebagai pemain nombor dua dunia, anda perlu memiliki mentaliti: Saya mahu menjuarai kejohanan ini.
“Itulah cara saya berfikir sekarang.”
© New Straits Times Press (M) Bhd