Jalan di Kuala Terengganu ditutup akibat banjir

Kuala Terengganu: Beberapa jalan utama di Kuala Terengganu telah ditutup berikutan banjir yang berlaku sejak jam 10 malam tadi.
Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Masjid Abidin, Jalan Syed Husein, Jalan Kg Daik, menghala Jalan Kota, Jalan Tok Lam dan Jalan Sultan Sulaiman.
Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mohktar melalui laman ‘Facebook’ beliau telah menasihatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan diri dan keluarga dan segera berpindah ke PPS jika diarahkan oleh pihak berkuasa.
“Pastikan peralatan elektrik diletakkan di tempat yang selamat dan matikan suis elektrik sebelum meninggalkan rumah. Elakkan bermain air banjir.
“Sama-sama kita doakan agar tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” jelas beliau.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu membuka semula Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini bagi menempatkan penduduk yang terjejas banjir malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, semua mangsa dari Kampung Binjai dipindahkan di PPS SK Chendering bermula jam 10 malam tadi.
Beliau berkata, semua 25 mangsa daripada tujuh keluarga itu dipindahkan selepas kampung berkenaan dinaiki air akibat hujan lebat sejak jam 5 petang semalam.
“Kampung itu terletak di kawasan yang agak rendah, jadi bila huja lebat tanpa henti petang semalam menyebabkan kawasan kampung berkenaan ditenggelami air.
“Limpahan air bukit dan pengaliran air yang perlahan kesan daripada pembinaan longkang baharu juga dipercayai menjadi punca kawasan berkenaan dinaiki air,” katanya.
Selain itu, penduduk di Pulau Redang turut terjejas akibat pengaliran air bukit dan fenomena air pasang besar.
Untuk itu, satu PPS bakal dibuka bagi menempatkan penduduk pulau berkenaan berikutan kawasan kediaman mereka dilimpahi air.
Orang ramai yang memerlukan sebarang maklumat atau bantuan boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana Negeri di talian 09-623 6655 /09-623 6644 atau Bilik Gerakan Daerah masing- masing.

ZA137 Malay News
National Desk