Friday, December 04, 2020

Safawi masih kempunan beraksi

Kuala Lumpur: Penyerang kebangsaan, Safawi Rasid terus kempunan untuk membuat penampilan pertama bersama Portimonense SC apabila sekali lagi memanaskan bangku simpanan ketika pasukannya tewas 0-1 dalam aksi pusingan ketiga Piala Portugal awal pagi tadi.

Kekalahan tipis di tangan UD Leiria itu sememangnya mengejutkan apatah lagi lawan adalah pasukan daripada divisyen 3 berbanding Portimonense SC yang hadir selaku pilihan dari liga utama.

Lebih mengecewakan, situasi itu menyaksikan laman sosial kelab Portugal itu terus menjadi sasaran ‘serangan’ penyokong Malaysia yang mengharapkan penampilan sulung daripada pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Dia yang menyertai kelab Portugal itu secara pinjaman selama semusim sebelum ini hanya berpeluang membuat penampilan bersama skuad bawah 23 tahun Portimonense.

Dalam aksi tersebut, gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Rui Gomes pada minit ke-80 sekali gus menyingkirkan Portimonense SC daripada saingan yang dijalankan menerusi format kalah mati itu.

Selain peminat dari Malaysia, penyokong Portimonense SC di Portugal juga dilihat mengecam kekalahan itu dengan menuntut agar Sergio meletakkan jawatan selepas pasukan kesayangan mereka juga sekadar menghuni tangga tercorot dalam liga utama.

Setakat ini, kelab yang berpengkalan di Algarve, Portugal itu sekadar mengumpul empat mata daripada tujuh aksi liga dengan merekodkan lima kekalahan, satu seri dan satu kemenangan.

Perlawanan Portimonense seterusnya adalah dalam saingan Liga Primeira menentang Nacional pada 29 November ini.

Akmal Hakim
Sports Desk