10 Exco N. Sembilan selesai beri keterangan

10 Exco N. Sembilan selesai beri keterangan

SEREMBAN: Polis selesai mengambil keterangan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dan beberapa individu lain berhubung krisis takhta, hari ini.

Kesemua terlibat dilihat beredar dari Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini kira-kira pukul 2 petang selepas hampir tiga jam memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Pasukan polis turut meninggalkan bangunan itu kira-kira pukul 2.15 petang selepas sesi rakaman percakapan yang bermula kira-kira pukul 11 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin berkata, mereka memberi keterangan secara berasingan.

Katanya, beliau perlu menjawab lebih 60 soalan yang dikemukakan berkaitan krisis pentadbiran dan takhta negeri ini.

“Saya sendiri memberi keterangan lebih setengah jam dengan lebih 60 soalan perlu dijawab berkaitan krisis pentadbiran Negeri Sembilan.

“Buat masa ini, kami sekadar mengambil keterangan dan difahamkan ramai lagi akan dipanggil. Semua profesional dan kita juga menjawab soalan secara profesional serta baik,” katanya ketika ditemui di Menara MAINS.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, polis sudah memanggil beberapa individu bagi merakam keterangan berhubung siasatan terhadap beberapa laporan berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan.

Menurutnya, individu terbabit termasuk mereka yang dikaitkan secara langsung dengan laporan berkenaan manakala keterangan lanjut dijangka terus dirakam.

Pada 20 September lalu, Istana Negeri Sembilan mengumumkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 Exco terbabit berkuat kuasa serta-merta sebelum perkara itu diwartakan.

Kesemua 10 Exco terlibat terdiri daripada tujuh wakil UMNO iaitu Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Faizal Ramli, Datuk Zaiful Bahri Idris, Datuk Razi Ali, Mohd. Asna, Siti Nur Umaira Hasim dan Suhaimizan Bizar.

Tiga lagi ialah wakil MCA, Siow Kong Choon, wakil Pas, Mohd. Fairuz Mohd. Isa dan wakil Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Razali Abu Samah.

Warta berkenaan turut memaklumkan bahawa berdasarkan Perkara 38 (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, seseorang Exco selain Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Besar.

Mohd. Asna memaklumkan, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim tidak hadir memberi keterangan hari ini.

Mohd. Asna berkata, kenderaan rasmi kerajaan negeri akan dipulangkan hari ini selepas menerima surat arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Saya pun tak baca surat itu tadi, tapi kita diminta pulangkan, jadi kita kena pulangkan semua barang-barang (rasmi kerajaan), kita pulangkanlah kenderaan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fairuz yang juga ADUN Serting berkata, beliau memberi keterangan selama dua jam kepada polis.

“Semua dijawab dengan baik,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top