Krisis istana Negeri Sembilan: Ahli EXCO yang digugur jawatan diarah pulangkan kereta rasmi

Krisis istana Negeri Sembilan: Ahli EXCO yang digugur jawatan diarah pulangkan kereta rasmi

am@hmetro.com.my

Seremban: Semua 10 bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan yang pelantikannya ditarik balik oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diarahkan untuk memulangkan kenderaan rasmi mereka.

Bekas EXCO Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Asna Amin ketika mengesahkannya berkata, beliau menerima surat daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berhubung perkara berkenaan, hari ini.

“Sejak perwartaan itu, saya tak guna kenderaan rasmi tapi hari ini memang ada terima surat daripada SUK berhubung arahan memulangkan semula kenderaan rasmi.

“Namun tidak sempatpun membaca surat itu tadi,” katanya kepada pemberita selepas memberikan keterangan kepada pihak polis dari Bukit Aman di bangunan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata, pihaknya akan melaksanakan arahan berkenaan.

“Jadi kami perlu mengeluarkan semua barang kami. Tidak mengapa, apa jua arahannya,” katanya.

Mohd Asna berkata, beliau tidak dapat memasuki pejabat EXCO di Wisma Negeri di sini, seperti biasa, dan semua urusan sebagai ADUN dilakukan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.

“Sebagai wakil rakyat, buat masa ini operasi kita di kawasan iaitu di pusat khidmat kawasan,” katanya.

Menteri Besar Datuk Ismail Lasim minggu lalu menyatakan bahawa ahli-ahli EXCO dilarang memasuki pejabat mereka di Wisma Negeri di sini, melalui arahan lisan.

Mengulas mengenai hasil pertemuan 25 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) negeri dengan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di ibu negara malam tadi, Mohd Asna berkata, perkara yang dibincangkan ialah berkaitan situasi politik negeri itu.

Menurutnya, pertemuan itu tertumpu kepada usaha menyelesaikan kebuntuan yang sedang berlaku, terutamanya memandangkan Belanjawan Negeri 2027, dijadualkan dibentangkan pada Disember depan.

“Belanjawan negeri semakin hampir, tinggal kira-kira dua bulan lagi, jadi, kerajaan perlu terus berfungsi. Perkara ini terletak kepada MB bagaimana untuk menangani dan menyelesaikannya sepertimana Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias maklumkan malam tadi.

“Apa jua yang berlaku, kami mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Tuanku Muhriz menarik balik pelantikan EXCO terbabit pada 20 September lalu selepas pihak istana menyatakan bahawa ahli-ahli EXCO berkenaan melanggar sumpah taat setia yang dilafaz dan ditandatangani.

Penarikan balik itu menyusuli satu kenyataan kontroversi EXCO mengenai kedudukan pemerintah, yang kemudiannya diisytiharkan tidak sah oleh Pejabat Peguam Negara sebelum penarikan balik pelantikan itu diwartakan secara rasmi pada 24 September lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top