Dungun: Seorang mekanik direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun dipercayai menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya di sebuah asrama institusi pendidikan di sini pada 9 Sept lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ng Yan Ni bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata mekanik berusia 24 tahun dari Kuala Terengganu itu, yang dipercayai teman lelaki pelajar berkenaan, ditahan di Jalan Pantai Teluk Lipat dekat sini pada 3 petang semalam.
Nik Ab Halim berkata pelajar perempuan itu pula ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada 6 petang semalam namun diberi jaminan polis atas faktor kesihatan.
“Siasatan awal mendapati pelajar itu melahirkan bayi di dalam tandas asrama perempuan institusi pendidikan berkenaan kira-kira 5 petang pada 9 Sept tanpa mengetahui dirinya mengandung,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pelajar perempuan itu menyimpan mayat bayi berkenaan, yang dipercayai meninggal dunia sejurus dilahirkan, di dalam lokar miliknya tanpa pengetahuan rakan sebilik.
Nib Ab Halim berkata pelajar itu disyaki turut memaklumkan kejadian tersebut kepada teman lelakinya untuk mendapatkan bantuan menguruskan pengebumian bayi berkenaan secara senyap.
© New Straits Times Press (M) Bhd




