LATEST

Pengundi Islam diusir selepas nama gugur daripada daftar pemilih

Pengundi Islam diusir selepas nama gugur daripada daftar pemilih

NEW DELHI: Pengguguran nama daripada daftar pemilih di India menyebabkan sebahagian masyarakat Islam berdepan penahanan dan pengusiran ke Bangladesh, meskipun mereka mendakwa mempunyai dokumen pengenalan diri sebagai rakyat negara itu.

Semakan daftar pemilih terbesar dalam sejarah India itu menyaksikan kira-kira 130 juta nama digugurkan di seluruh, dengan masyarakat Islam menjadi antara kumpulan paling terjejas.

Baca juga: Malaysia gesa ASEAN-Korea Selatan perkukuh kerjasama banteras jenayah siber – Anwar

Di Bengal Barat, kira-kira sembilan juta nama digugurkan menjelang pilihan raya negeri, manakala pengundi Islam membentuk kira-kira 70 peratus daripada 2.7 juta nama yang digugurkan selepas semakan lanjut meskipun hanya merangkumi 27 peratus daripada penduduk negara itu.

Sahida Fakir, 38, merupakan antara individu terjejas yang mendakwa ditahan sekumpulan polis berpakaian biasa ketika membeli barang di Mumbai pada 19 Julai sebelum dihantar ke Bangladesh.

Dokumen mahkamah menunjukkan Sahida antara 149 individu yang dihantar pulang dalam operasi berkenaan selepas dikenal pasti pihak berkuasa sebagai warga Bangladesh.

Bagaimanapun, rekod keluarga menunjukkan ibu bapa dan datuk neneknya merupakan pengundi berdaftar di Bengal Barat sejak pilihan raya umum pertama India pada 1952, manakala namanya tersenarai dalam daftar pemilik sejak 2008.

Sahida menafikan dakwaan pihak berkuasa dia gagal mengemukakan bukti kewarganegaraan, malah mendakwa tidak diberi peluang menunjukkan dokumen yang tersimpan dalam telefon bimbitnya.

Kes seumpama itu turut membabitkan Nasiruddin Sheikh, seorang penjaja yang mendakwa ditahan selama 32 hari bersama tiga individu lain selepas nama mereka tidak ditemukan dalam daftar pemilih ketika bekerja di Chhattisgarh.

Nasiruddin berkata, 19 individu lain yang turut ditahan dibebaskan selepas 14 hari apabila pihak berkuasa mendapati nama mereka masih tersenarai dalam daftar pemilih yang disemak semula. Dia menyifatkan pusat tahanan berkenaan seperti penjara kerana penghuni tidak dibenarkan keluar.

Aktivis hak asasi manusia, Kirity Roy berkata, berjuta-juta bantahan terhadap pengguguran nama daripada daftar pemilih masih menunggu penyelesaian, manakala proses di tribunal khas berjalan perlahan sehingga menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan pihak terjejas.- AGENSI

The post Pengundi Islam diusir selepas nama gugur daripada daftar pemilih appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news