am@hmetro.com.my
Baca juga: PM Anwar hormat prinsip Anthony Loke letak jawatan! Belum putus rombakan Kabinet
Padang Terap: “Mengucap dik, mengucap… ingat Allah,” demikian luahan sayu seorang lelaki ketika melihat pemandu sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan nazak selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam nahas di Jalan Padang Kerasak, Naka, di sini hari ini.
Lelaki terbabit turut mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah ketika melihat mangsa dalam keadaan parah.
Video kejadian kemalangan itu tular di media sosial sehingga mengundang perasaan sayu orang ramai yang melihat lelaki berkenaan dalam keadaan berlumuran darah, tetapi masih bernyawa.
Bagaimanapun, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Nerang (HKN).
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Mohd Anuar Jusoh, berkata anggota bertugas di kaunter aduan Balai Polis Trafik Padang Terap menerima maklumat awam jam 3.35 petang berhubung kejadian nahas jalan raya membabitkan Proton Wira dengan lori Isuzu Rigid Kargo di Jalan Padang Kerasak di sini.
Katanya, siasatan di lokasi mendapati nahas berlaku ketika Proton Wira dari bulatan Padang Kerasak ke Pekan Naka dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori dari arah hadapan.
“Pemandu kereta iaitu lelaki berusia 29 tahun tersepit di tempat pemandu dan dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba sebelum dikejarkan ke HKN untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat parah di kepala. Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Anuar berkata, pemandu lori berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd